ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Sambutan MaulidRasul SAW





MAULIDURRASUL DENGAN DALIL-DALIL YANG NYATA.
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas saiyidina Muhammad, Keluarga dan Sahabatnya sekelian…
Kami kemukakan dalil-dalil bagi masaalah Maulidurrasul didalam risalah ini, supaya dapat memberi penjelasan yang terang bagi sekelian kaum muslimin daripada terpesong dengan mereka yang membid’ahkan amalan ini. Mudah-mudahan Allah memberi manfaat dengannya, amin…!



DALIL SUNAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL DI SISI ULAMA’ AHLI SUNNAH.
1. Merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya. Firman Allah Taala:
“Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikuti cahaya (Al-Qur’an) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.”
(Surah Al-A’araf, ayat 157).
2. Firman Allah Taala, : “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” ( Al-Haj:32 )
Dimaksudkan dengan “tanda-tanda Allah” (Sya’airallah ) pada umum ayat ini, iaitu setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad s.a.w dan menyambut Maulidurrasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintah-Nya.
3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, begitu juga Ismaili dan Abdul Razak, Bahawa diringankan azab keatas Abi Lahab pada hari isnin kerana memerdekakan ‘Suwaibah’ iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w.
Hadis ini menunjukkan bahawa:
i) Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir, seteru kepada Nabi s.a.w. diringankan azabnya, apatah lagi orang yang muslim. Seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasiruddin ibnu Syamsuddin Ad-Dimasyqi dan Imam Al-Qurra Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Al-Jazri.
ii) Dianjurkan memulia dan membesarkan Nabi s.a.w dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran Baginda merupakan ‘ Hari Kebesaran Islam ’ dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari, ‘ Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari Isnin, berkata Nabi s.a.w, “ Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian keatas ku.” ( Riwayat Muslim dan lainnya )
iii) Membuat perkara-perkara kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa hari isnin dan hadis berpuasa hari A’syura yang akan datang ) sempena memuliakan hari kelahiran Nabi s.a.w seperti berhimpun dengan membaca Al-Qur’an, berselawat, memuji Nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir-miskin dan lain-lain.
1
4. Didalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa hari A’syura lalu baginda bertanya , mereka menjawab, “ Ianya hari di mana Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah ta’ala.” Lalu nabi berkata, “ Kami terlebih utama dengan Musa…”.
Diambil pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidurrasul adalah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam ini. Ini kerana , sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya nabi kita s.a.w. sebagaimana berkata Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Assqalani, Sayuti dan lain-lain.

Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya , maka dengan demikian itu ( kurniaan dan rahmat ) , hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” ( Yunus:58 )
FirmanNya, “Tidaklah kami mengutuskan engkau ya Muhammad melainkan kerana rahmat bagi sekelian alam.”
( Al-Anbiyaa’:107 )
5. Memperingati dan membesarkan Maulidurrasul dengan selawat, membaca kisahnya, merupakan perantaraan kepada mencintai nabi dan mencintai Allah. “ Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekelian manusia.” ( al-Hadis ).
Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, jika sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Ali-Imran:31)



KESIMPULAN
i) Menyambut hari kelahiran Rasulullah disabitkan dengan dalil-dalil syara’.
ii) Disunatkan memperingati maulidurrasul pada bila-bila masa, terlebih utama
lagi sempena hari kelahirannya.
iii) Membesarkan Nabi bersempena hari kelahirannya yang merupakan salah satu
hari kebesaran Islam.
iv) Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas sebesar-besar nikmat dan
rahmat Allah iaitu kelahiran baginda dengan mengerjakan amalan-amalan
kebaikan.
v) Menyambut hari kebesaran ini membawa kepada mencintai nabi dan mencintai Allah.
vi) Mendapat ganjaran yang besar di dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya.

Orang yang pertama merayakan Maulid ialah Sultan Ibnu Malik Al-Muzzaffar, seorang wali Allah, raja yang adil, warak , zuhud dan alim. Menghadiri Majlis Maulidnya ulama’-ulama’ muktabar dan orang-orang salih dengan ketiadaan mengingkarinya , sehinggakan ulama’ besar yang bernama Assyeikh Abu Khatab Ibnu Dihyah telah mengarang bagi sultan itu, kitab Antanwir membicarakan tentang amalan Maulid. ( Lihat Al-Hawi Lil Fatawi bagi Sayuti ).

Berkata Assakhawi, “Sesungguhnya amalan Maulid berlaku kemudian daripada kurun ketiga iaitu tiga ratus tahun daripada Hijrah, selepas itu sentiasalah umat Islam pada setiap negeri mengamalkannya…….”

Oleh itu, amalan Maulidurrasul ini adalah ijmak muslimin yang tidak diengkari bahkan disokongi oleh ulama’ Ahli Sunnah sejak pertama kali diadakan hingga sekarang. Tidak berhimpun ulama’ dan seluruh muslimin yang sempurna imannya pada kesesatan. Sabda Nabi, “Tidak berhimpun umatku diatas kesesatan.” Sabdanya lagi, “Sesuatu perkara yang dipandang baik oleh muslimin maka ianya di sisi Allah adalah kebaikan.”

DALIL SATU PERSATU AMALAN YANG DILAKUKAN DIDALAM MAULID.
BERHIMPUN DENGAN BERTILAWAH AL-QURAN, BERZIKIR, BERSELAWAT, MEMBACA KISAH NABI DAN MENGADAKAN JAMUAN



1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Bersabda Rasulullah; Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah , lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat dan Allah menyebut tentang mereka dikalangan nabi dan malaikat di sisi-Nya .” ( Sahih Muslim ).
2) Bersabda Nabi s.a.w., “Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat.”
3) Firman Allah ta’ala, “Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada kisah-kisah Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau di dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud:120)
4) Meriwayat Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda, “ Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam.” Berkata al-Iraqi, “ Hadis ini sahih sanadnya .”
Meriwayat Turmizi , bahawa sahabat-sahabat nabi tidak bersurai mereka daripada majlis bertilawah al-Quran dan zikir, melainkan selepas menikmati jamuan.

SUNAT BERDIRI KETIKA DIBACAKAN KISAH KELAHIRAN BAGINDA S.A.W.
Disunatkan berdiri ketika dibaca kisah kelahiran Nabi s.a.w. kerana perbuatan berdiri menunjukkan di atas membesarkan baginda, termasuk di dalam nas al-Quran yang kami sebutkan dahulu. Telah berdiri Imam Subki bersama-sama orang ramai di Majlis Maulid ketika kisah kelahiran baginda dibacakan. Ulama’ Ahli Sunnah mengatakan sunat dan elok perbuatan ini.



Cara membesar dan memuliakan Nabi s.a.w. semasa hayat baginda atau wafatnya, samada dengan hati atau lisan seperti berselawat, puji-pujian atau dengan perbuatan iaitu berdiri. Telah disepakati pada adat orang ramai bahawa berdiri itu bertujuan membesarkan seseorang.
Adapun Fatwa al-Allamah Imam Abu Saud yang mengkafirkan mereka yang tidak berdiri ketika orang ramai berdiri pada Majlis Maulid , sekiranya mereka meninggalkan berdiri kerana menghinakan Nabi s.a.w. atau mengingkari hukum membesarkan baginda.



Berkata Imam Nawawi, “Disunatkan berdiri kepada orang yang hadir iaitu daripada ahli kelebihan dan kemuliaan, sesungguhnya datang hadis-hadis sebagai hujah padanya…….”
1) Diriwayatkan daripada Said al-Khudri, Nabi bersabda, “ Berdirilah kamu kepada penghulu kamu” ( iaitu Saad Ibnu Muaz yang hadir kepada sahabat ), lalu ia datang dan duduk kepada Rasulullah. ( Riwayat Abu Daud ).

Perbuatan berdiri dalam hadis ini adalah kerana memuliakan Saad, bukan kerana hendak menurunkan Saad yang sakit daripada tunggangannya. Jika berdiri kepada Saad disebabkan keuzurannya , nescaya nabi berkata dengan lafaz, “Berdirilah kepada orang yang sakit daripada kamu”, dan tidaklah perlu nabi menyuruh sekalian sahabat bahkan memadai seorang dua shaja bagi memapahnya.



2) Mengeluar Abu Daud daripada Abu Hurairah, “Adalah nabi bercakap dengan kami, apabila baginda berdiri, lalu kami pun berdiri kepadanya hingga kami melihat ia memasuki rumahnya.”
Adapun berdiri yang dilarang dalam beberapa hadis, adalah berdiri yang lahir daripada sifat takabbur atau larangan itu kerana tawaduk nabi. Disunatkan berdiri tersebut semata-mata kerana perbuatan berdiri termasuk daripada membesarkan nabi, samada hadir Roh Nabi di dalam Majlis Maulid ataupun tidak. Ketahuilah ! Roh Nabi dan orang mukmin boleh pergi ke mana sahaja yang dikehendakinya dan harus dapat berjumpa dan melihatnya.
i) Sabit pada hadis sahih bahawa berhimpun nabi s.a.w dengan para nabi di Baitul Maqdis dan di langit pada kisah Isra’ dan Mikraj.
ii) Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w melihat Nabi Musa dan Nabi Yunus menunaikan haji sambil mengucapkan ‘talbiah’.
iii) Didalam Sahih Bukhari, bahawa sesetengah sahabat dilihat bersembahyang di dalam masjid selepas meninggal dunia.
iv) Daripada abu Hurairah, Nabi Bersabda, “Sesiapa melihatku didalam mimpinya, nescaya ia akan melihat aku ketika jaga ( tidak bermimpi ) dan syaitan tidak boleh berupa dengan rupaku.” ( Bukhari dan Muslim )
Berkata Imam Sayuti, “Bahawa nabi s.a.w itu hidup dengan jasad dan roh, serta rohnya berjalan ke mana sahaja yang dikehendakinya kepada segala tempat dimuka bumi dan alam malakut….”

Meriwayat Imam Ahmad, Turmizi dan Ibnu Abi Dunia daripada Salman Al-Farisi, “Bahawa roh orang mukmin berada di barzah di dalam dunia, boleh pergi ke mana-mana yang dikehendakinya.”

SUNAT MEMUJI NABI DENGAN SYAIR



Allah ta’ala memuji penyair-penyair yang beriman dan mengasingkan mereka daripada kumpulan penyair yang dicela dengan firmanNya :
1) “…..Melainkan penyair-penyair yang beriman dan beramal salih serta banyak menyebut Allah………” (Assyua’ra:227)

Telah mentafsir Imam an-Nasafi, “Berzikir mengingati Allah dan bertilawah al-Quran adalah menjadi kebiasaan bagi mereka daripada bersyair. Apabila mereka menyampaikan syair , mereka bersyair pada mentauhid dan memuji Allah, tentang ilmu, peringatan, zuhud, budi pekerti, memuji Rasulullah dan sahabat serta orang-orang salih dan seumpamanya.”
2) Mengeluar Bukhari di dalam `Al-Adab Al-Mufrad’ dan Thabarani di dalam `Al-Ausath’ daripada hadis marfu’ Abdullah Ibnu Omar, “Syair itu menempati percakapan, maka syair yang baik seperti percakapan yang baik dan syair yang keji seperti percakapan yang keji..”
3) Meriwayat Thabarani, bahawa ketika Nabi s.a.w. memasuki Madinah sekembalinya daripada perang Tabuk, berkata Ibnu Abbas, “Ya Rasulullah ! Adakah memberi keizinan kepada aku memuji engkau ? Bersabda Nabi, “Katakanlah ! Tidak akan mensadur Allah mulut engkau,” lalu ia memuji baginda dengan qasidah syair…..

Menyebut Mawardi di dalam al-Hawi dan Ruyani di dalam al-Bahri, bahawa syair terbahagi kepada ; haram, harus dan sunat. Syair yang disunatkan itu dua bahagian. Pertama, syair yang menakuti dan memperingati huru-hara akhirat. Kedua, syair yang menekankan budi pekerti yang baik. Di antara syair yang disunatkan ialah memuji para nabi, sahabat, ahli taqwa dan seumpamanya.

Adapun hadis yang berbunyi, “Janganlah kamu memuji aku sebagaimana orang Nasrani memuji Isa Ibnu Maryam,” dilarang memuji sehingga menganggap nabi sebagai anak tuhan atau tuhan.
Firman Allah ta’ala, “ Berkata orang Nasrani, Isa itu anak tuhan.”( At-Taubah:30 ) FirmanNya, “Sesungguhnya menjadi kafir mereka (Nasrani) yang berkata bahawa Allah, tuhan yang ketiga daripada tiga tuhan.” (al-Maidah:73)

Tidak menjadi kesalahan mengagungkan Nabi s.a.w. dengan melampau-lampau selagi tidak menganggapnya sebagai tuhan, kerana sabit dengan hadis-hadis sahih, di antaranya :
Meriwayat Bukhari bahawa Urwah ibnu Mas’ud as-Saqafi menghadiri kepada Nabi s.a.w. di dalam Perjanjian Hudaibiyah . Sekembali Urwah kepada kaumnya lalu berkata, “…tidak pernah aku melihat seorang pun yang mengagungkan seseorang sebagaimana sahabat Muhammad mengagungkannya. Tidaklah Muhammad berludah satu ludahan, melainkan menyambut sahabatnya dengan tangan-tangan mereka, lalu melumurkan ke wajah mereka dan tidaklah ia berwuduk, melainkan mereka berebut-rebut kepada air wuduknya untuk mengambil barakat, sedangkan ia mengiktiraf dan tidak mengingkari perbuatan mereka itu dan mereka ( sahabat ) tidak menajamkan pandangan kepadanya.”

Telah ijmak ulama’ pada harus berseru meminta pertolongan dan bertawasul dengan mengambil barakat Nabi s.a.w. Meriwayat Baihaqi dengan sanad yang sahih, daripada Malik addar , berkata, “ Telah menimpa musibah kemarau pada orang ramai di zaman Umar al-Khatab, lalu datang seorang lelaki ( Bilal Ibnu Haris al-Muzani ) ke kubur Nabi s.a.w. dan berseru, “ Ya Rasulullah ! Mintalah supaya diturunkan hujan bagi umatmu kerana sesungguhnya mereka itu sedang binasa.” Lalu hadir rasulullah di dalam mimpinya dan baginda berkata, “Pergilah kepada Umar dan sampaikan salamku kepadanya…..”.

Dalam hadis ini , lelaki berkenaan telah memberitahu kepada saidina Umar tentang kisah tersebut, akan tetapi saidina Umar dan sahabat-sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatan lelaki itu.

Berkata as-Subki, “ Elok bertawasul dan berseru meminta pertolongan dengan Nabi sebagai perantaraan kepada tuhannya. Tidak seorangpun daripada Salaf dan Khalaf mengingkarinya, sehingga datang Ibnu Taimiyah mengingkari serta menyimpang daripada jalan yang sebenar lalu menghukum bid’ah perkara yang tidak dikatakan bid’ah oleh seorang alim sebelumnya, dan jadilah membid’ahkannya itu, sebagai perkara yang menakut-nakutkan umat Islam daripada mengerjakannya.”



TARIKH KELAHIRAN NABI S.A.W.
Telah berlaku perselisihan Ulama’ pada menentukan tarikh kelahiran Nabi s.a.w. kepada tujuh pendapat. Pendapat yang terlebih masyhur daripadanya :-
1) Hari kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal iaitu pendapat Mohd Ibnu Ishaq Naisaburi dan lainnya. Berkata Ibnu Katsir, “Pendapat ini masyhur di sisi kebanyakkan ulama’ dan dipegangi oleh ahli Makkah sejak dahulu hingga sekarang pada waktu menziarahi tempat kelahiran Nabi s.a.w. Mendakwa Ibnu Jauzi dan Ibnu Jazar dengan ijmak , iaitu ijmak kebanyakkan atau ijmak perbuatan, kerana salaf dan khalaf bersepakat atas amalan Maulid dan menamakan hari kelahiran baginda pada hari tersebut di setiap negeri, sehinggakan di Makkah, tempat kelahirannya…”
2) Berkata kebanyakan Imam-Imam yang menghafal hadis iaitu ulama’ yang terdahulu dan lainnya, bahawa ianya hari kelapan Rabiulawal.
Berkata Syeikh Yusuf Ibnu Ismail Annabhani, “Tetapi, pendapat yang pertama itu masyhur di sisi jumhur ulama’ dan ianya pendapat yang sahih, yang mana dipegangi oleh ulama’ salaf dan khalaf, maka diatas pendapat inilah yang dipegangi.”
Wallahua’lam …

Dikeluarkan Oleh:
Pelajar Pondok Pasir Tumbuh,
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Syeikh Judah Ibrahim



Pada tanggal 30 Sya’ban 1264 hijrah , bertempat di Kampung Al-‘Aziziah , daerah Munya Al-Qomhi, negeri As-Syarqiah lahir seorang tokoh ulama’ yang terkemuka di dalam dunia tasawuf. Beliau ialah As-Sayyid As-Syeikh Judah Bin As-Sayyid Ibrahim Bin As-Sayyid Mustafa Judah رضى الله عنهم وعنا بهم
. Berhubung nasab keturunannya dengan Saidina Maulana Al-Imam Al-Hasan Bin Saidina ‘Ali . Ibu beliau yang mulia bernama As-Saiyyidah Syamah juga berhubung keturunannya dengan cucu Rasulullah iaitu Saidina Maulana Al-Imam Al-Hussain رضى الله عنه وعنا به .
Sebelum ibunya hamil , bapanya telah bermimpi bahawa dijarinya terdapat cincin yang mana permata di cincin itu bersinar menerangi seluruh dunia. Maka ahli kasyaf dan makrifah menafsirkan mimpi itu bahawa beliau akan memperolehi seorang anak lelaki yang menjadi imam yang memenuhilah cahaya ilmu dan makrifahnya ke seluruh alam dan anaknya itulah wali khutub di zamannya.

Syeikhuna Judah Bin Ibrahim membesar dengan menghafaz Al-Quran pada awalnya. Di antara bukti beliau akan menjadi wali khutub apabila dewasa ialah dengan kedatangan wali-wali Allah dari Negara Syam dan Turki kepadanya untuk mengambil keberkatan daripanya sedang ketika itu beliau masih lagi kecil. Peristiwa ini berlaku ketika beliau sedang membaca Al-Quran, tiba-tiba datang beberapa orang syeikh dari Negara Syam dan Turki ke Kampung Al-‘Aziziah bertujuan untuk mengambil keberkatan daripadanya.

Seorang ulama’ yang bernama As-Syeikh Al-Bakri iaitu guru hafazan Al-Quran bagi Syeikh Judah Bin Ibrahim pernah berlaku padanya peristiwa yang mencarik adat kebiasaan manusia, di mana Syeikh Judah apabila diajar satu ayat Al-Quran maka beliau akan menghafaz ayat dan membacanya di hadapan gurunya serta menghafaz ayat selepas itu yang belum diajar oleh gurunya. Beliau telah mendahului gurunya di dalam membaca ayat-ayat yang dihafaz. Kisah itu diceritakan oleh anaknya As-Syeikh Isa.
Setelah selesai menghafaz Al-Quran dan mempelajarinya, beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Universiti Al-Azhar As-Syarif dan mendalami ilmu Al-Quran dan Al-Hadis. Beliau juga mendalami ilmu Feqah di dalam Mazhab Imam kita As-Syafi’e. ilmu beliau ketika itu sangat mendalam umpama laut yang tiada bertepian. Beliau telah mempelajarinya daripada ulama’ Al-Azhar As-Syarif seperti As-Syeikh Muhammad Al-Ashmuni (1321 hijrah), As-Syeikh Muhammad Al-Khodri Ad-Dumyathi (1298 hijrah), As-Syeikh Ibrahim As-Sakho (1298 hijrah) dan ulama’-ulama’ lain sehingga mahir dan melaut ilmunya. Syeikh Judah juga seorang yang sangat mahir di dalam ilmu Mengenali Thariq Hadis, Al-Jarah dan At-Ta’dil, Takhrij Al-Hadis di dalam kitab Sunan Sittah dan lainnya. Begitu juga di dalam ilmu bahasa Arab seperti bahasa, Nahu , Sorof, Ma’ani, Bayan, Badi’ , Syi’ir dan sebagainya. Beliau tidak kurang hebatnya di dalam Ilmu Kalam, Mantiq dan lain-lain sehingga menjadi orang yang tunggal di dalam merungkai permasalahan yang rumit dan mendalam di dalam ilmu yang dipelajarinya.


KEHIDUPAN AS-SYEIKH SEHARIAN

Sesungguhnya saya ( yakni Dr Judah iaitu cucu kepada As-Syeikh) telah bertanya Syeikh saya iaitu Syeikh Isa Judah tentang peraturan kehidupan seharian Syeikh Judah. Maka beliau menjawab dengan jawapan seperti berikut: Adalah Saidina Syeikh Judah bangun dari khulwahnya yang khusus 2 jam sebelum masuk waktu fajar. Maka beliau akan memperbaharui wudhuknya dan bertahajjud pada 1/3 akhir malam sekira-kiranya ________ seperti mana yang disebutkan oleh Al-Imam As-Sya’rani. Kemudian beliau akan mula membaca Al-Quran seperti biasa sekurang-kurangnya 1/3 Al-Quran ( yakni 10 juzuk) sebagai wirid hariannya dan juga membaca zikir-zikir, wirid-wirid An-Naqsyabandi dan lain-lainnya.

Kemudian pada waktu Dhuha, beliau akan berwudhuk kali kedua dan masuk berkhulwah. Beliau akan membenarkan kekasih-kekasihnya yang khusus dan pengikutnya datang kepadanya dengan keizinan khusus ketika azan Zohor.
Selepas solat Zohor hingga Asar beliau akan berada di ruang tamu umum untuk bertemu dengan murid-muridnya,pengikut-pengikut dan tetamu-tetamu yang menziarahinya. Majlis beliau yang mulia itu ialah majlis Al-Quran dan ilmu. Kebiasaanya salah seorang muridnya yang khusus akan datang bersama kitab-kitab tafsir, hadis, fekah dan tasawuf. Murid yang membacanya itu kebiasaannya ialah As-Syeikh Muhammad Abu Qandil atau As-Syeikh Fadhlum Abu Muqallid atau bapa saya iaitu Sayyidi Muhammad Abu Yazid yang mana kedua-dua membaca Al-Quran pada Syeikh Judah dengan menghafaz tanpa ada sedikit pun kesalahan. Maka tatkala selesai bacaan itu, Syeikh Judah akan berdoa kepadanya “ semoga Allah membuka ke atasmu”. Maka pembukaan yang dimaksudkan itu ialah pembukaan Ilahi terhadap pintu hati beliau. Bapa saya juga membaca Kitab Al-Mawahib Al-Ladunniah karangan Imam Al-Qostolani.

Sesungguhnya Syeikh Judah disoal ketika bacaan kitab tentang sehalus-halus ilmu dan menjawabnya dengan jawapan yang menyinarkan akal. As-Syeikh juga berfatwa di atas empat mazhab dan menyelesaikan kemusyiklan ibarat ahli tasawuf yang tergantung bahkan As-Syeikh bertanyakan masalah-masalah kepada salah seorang daripada muridnya di pertengahan bacaan. Maka pembaca akan berhenti dan murid tadi akan menjawabnya dengan jawapan yang terbuku di hati daripada pembukaan Allah yang tiada had.
Adalah kebiasaan As-Syeikh Judah tidak akan bercakap tentang perkara-perkara dunia dan tidak seorang pun di dalam majlisnya dapat melafazkan sepatah perkataan berbentuk duniawi. Majlis As-Syeikh adalah majlis Allah yang dinaungi oleh para malaikat dan langit serta bumi berbangga-bangga dengannya. Tidakkan majlis ini adalah majlis ahli tahqiq di zamannya? (Bahkan ). Di sana juga didatangi oleh imam-iman ulama’ dan syeikh-syeikh Islam untuk bersesak-sesak menuntut ilmu syariat dan hakikat daripadanya.

Selepas itu, Syeikh Judah akan masuk berkhalwah selepas solat Asar. Maka tiada seorang pun boleh masuk kepadanya sehingga waktu Isyak kecuali dengan izin. Selepas Isyak, beliau akan menegah untuk masuk kepadanya. Adalah ketika itu masa untuk beliau menyendiri,menyucikan diri dan menyempurnakan ibadatnya, mendirikan solat dan menyucikan rohaninya kepada Allah.

“ Maka adalah sebahagian perkara yang aku tidak tahu, maka disangka akan kebaikannya tanpa ditanya khabar beritanya “
Jadilah Imam kami,Syeikh kami Syeikh Judah –mudah-mudahan Allah mengangkatkan namanya di dalam alam- sebagai menara hidayah, pemancar makrifat Allah dan penunjuk kepada pendekatan diri kepada Allah sepanjang hidupnyadi dunia selama 83 tahun sehinggalah As-Syeikh bertemu dengan Tuhannya Yang Maha Pemurah pada 27 Syawal tahun 1346 hijrah ( bersamaan 18 April 1928, hari Rabu). Maka adalah jumlah tahun kehidupannya di dunia ialah jumlah kiraan Lailatul Qadar (yakni jumlah seribu bulan bersamaa dengan 83 tahun) yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan.

* Blogger ini pernah belajar dan bertabaruk dengan pewarisnya iaitu Prof Syeikh Dr Judah Abu Yazid (Tim. Rektor Universiti al-Azhar, Anggota Tertinggi Akademi Penyelidikan al-Azhar, Anggota Naqib al-Ashraf, Ahli Lajnah Ilmiyyah Majlis Tertinggi Tariqat Sufi Mesir)

SHEIKH MOHAMAD KHALIL AL-KHATIB



Nama, keturunan & gelaran.

Beliau ialah al 'Allamah al Muhaddith al Muhaqqiq al Faqih al Imam al Lughawi Sayyid Muhammad bin Khalil bin Muhammad bin Sayyid bin Ismail bin Ahmad al Khatib bin al Tunajji bin Salim bin Salam bin Salam bin Sa’adullah bin Afandi Muhammad bin ‘Aliyu bin al Bakri bin Ismail bin Muhammad bin Ismail bin al Qasim al Rassi bin Ibrahim Tobatoba bin Ismail bin Ibrahim al Fakhr bin al Hasan al Muthanna bin Imam Hasan al Sibt bin Amirul Mukminin Imam Ali dan Sayyidah Fatimah al Zahra’ binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Terkenal dengan gelaran 'Penyair Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam' di mana gelaran ini diberi oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud yang merupakan Syeikhul Azhar pada waktu itu.

Kelahiran.

Dilahirkan di desa Naidah, markaz Akhmim, muhafazah Suhaj, Republik Arab Mesir pada hari Selasa, 9 Mac 1909 (16 Safar 1327). Beliau merupakan anak tunggal kepada pasangan Sayyid Khalil dan Sayyidah Na'isah.

Pendidikan.

Beliau mula menghafal al Quran semenjak kecil lagi dan berjaya menyelesaikan hafalannya ketika berusia 10 tahun. Setelah itu beliau mula menghafal sebahagian besar matan-matan ilmu sebelum melanjutkan pelajaran di Maahad Suhaj al Dini. Beliau berjaya menamatkan pengajiannya di Maahad tersebut dengan memperoleh Syahadah Ibtidaiyyah pada tahun 1924 (1342) ketika berusia 15 tahun. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah sehingga memperoleh Syahadah Thanawiyyah Azhariyyah pada tahun 1928 (1346) ketika berusia 19 tahun. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti al Azhar al Syarif, Kaherah sehingga berjaya memperoleh ijazah Syahadah 'Alamiyyah pada tahun 1933 (1357) ketika berusia 24 tahun. Kemuncaknya, beliau berjaya memperoleh Syahadah Takhassus (Ph.D) dalam bidang Bahasa Arab pada tahun 1936 (1354) ketika berusia 27 tahun.

Kerjaya.

Selesai menamatkan pengajian di al Azhar al Syarif, beliau telah dilantik menjadi tenaga pengajar di Maahad Ahmadi, Tanta selama 30 tahun sebelum menjawat jawatan sebagai pensyarah Fakulti Usuluddin, Jabatan Dakwah di Universiti al Azhar al Syarif. Selain itu, beliau turut mengadakan majlis pengajian bertempat di Masjid al Muhafazah, Tanta.

Perkahwinan.

Beliau berkahwin dengan Sayyidah Aminah binti Abdul Rahman al Khatib ketika berusia 27 tahun dan dikurniakan Allah dengan lima orang cahaya mata iaitu 4 putera dan seorang puteri. Mereka ialah Muhammad, Mustafa, Mahmud, Ahmad dan Iman.

Mazhab & Masyrab.

Sayyid Muhammad Khalil al Khatib merupakan seorang faqih bermazhab Hanafi. Namun begitu, beliau juga seorang alim lagi faqih dalam mazhab yang empat. Sering kali dalam majlis pengajiannya, beliau akan menjawab persoalan mengenai fiqh dengan mengemukakan pandangan daripada setiap mazhab. Beliau melalui masyrab sufi iaitu Khalwatiyyah dan Syazuliyyah di bawah bimbingan lima orang guru mursyid. Mereka ialah :

1) Sayyid Abdul Jawwad al Dumi, syeikh Tariqat Khalwatiyyah.
2) Sayyid Ali Daud, syeikh Tariqat Syazuliyyah.
3) Sayyid Mahmud Husain Syalabi.
4) Sayyid Abdullah Saad.
5) Sayyid Muhammad al 'Aqqad, syeikh Tariqat Syazuliyyah Fasiyyah Wafaiyyah.

Perkara ini beliau sebutkan dengan jelas di dalam kitabnya yang bertajuk Ithaful Akhyar bi Asohhil 'Aqoidi wal Azkar pada bab Sanad al Khatib. Beliau diizinkan untuk memimpin Madrasah Syazuliyyah Khalwatiyyah pada bulan Mac 1938 bersamaan bulan Muharam 1357 ketika berusia 30 tahun. Oleh yang demikian, beliau merupakan pengasas Tariqat Khatibiyyah Syazuliyyah Khalwatiyyah.

Karya-karya.

Beliau mula aktif dalam bidang penulisan ketika masih menuntut di peringkat menengah lagi. Sepanjang usianya, beliau telah menghasilkan sebanyak 77 buah karya yang merangkumi bidang Tafsir, Hadith, Nahu, Sorof, Balaghah, Sirah, Fiqh, Syair-syair Arab dan artikel-artikel semasa. Kitab yang telah mengharumkan nama beliau di kalangan para ulama' bertajuk Ithaful Anam bi Khutob Rasulil Islam yang menghimpunkan sejumlah 574 khutbah-khutbah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam pelbagai perkara. Beliau menghabiskan masa selama 15 tahun untuk menyiapkan kitab tersebut. Ini menggambarkan kepada kita tentang kesabaran dan ketelitian beliau bagi menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Beliau merupakan contoh terbaik sebagai penulis yang sabar, sasterawan yang kreatif serta pengkaji yang teliti.

Kewafatan.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada hari Jumaat, 21 Februari 1986 (12 Jamadil Akhir 1406) dalam usia 77 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Masjid al Muhafazah, Tanta. Semoga Allah meredhai beliau serta membalas jasa-jasa beliau dengan sebaik-baik pembalasan. Amin.
* Blogger ini pernah mengikuti pengajian dan tabaruk dengan pewarisnya iaitu Syeikh Mahmud al-Khatib
Bibliografi:

- Nafhatul Qabul fi Sirah Syair ar Rasul, Syeikhuna Sayyid Mahmud Bin Muhammad al Khatib al Hasani, terbitan tahun 1987.
- Ithaful Akhyar bi Asohhil 'Aqoidi wal Azkar, Imam Muhammad Khalil al Khatib al Hasani, halaman 11-13, terbitan tahun 2002.
- Al Qasasul Haq li Sayyidil Khalq, Imam Muhammad Khalil al Khatib, pada muqaddimah, terbitan tahun 2000.
- Gema Negeri Edisi Perdana, ruangan tokoh, Danial Farhan bin Dolmat, terbitan Badan Kebajikan Anak-anak Negeri Sembilan Mesir (BAKANS).