ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

PRINSIP-PRINSIP ASTRONOMI DALAM TAMADUN ISLAM DAN MELAYU

Makalah ini dibentangkan di Bengkel Pengislaman Ilmu 2008 anjuran ASASI pada 16 Ogos 2008 bertempat di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

PRINSIP-PRINSIP ASTRONOMI DALAM TAMADUN ISLAM DAN MELAYU

Baharrudin bin Zainal

Universiti Darul Iman Malaysia,

21300 Kuala Terengganu

Mel-e: baharzai@udm.edu.my

Pendahuluan

Secara umum, astronomi membawa maksud yang sama dengan ilmu falak. Dalam al-Quran, perkataan ‘falak’ digunakan sebanyak dua kali, iaitu dalam surah Yaasin ayat 40 dan surah al-Anbiyaa ayat 33. Menurut tafsir Baidawi, ayat ‘kullum fi falaki yasbahun’ yang terdapat dalam kedua-dua surah di atas, ditafsirkan sebagai; “... berjalan dengan sukar seperti orang yang berenang dalam air ....”[1] Manakala al-Biruni dalam Kitab al-Tafhim li-awail sinaat al-tanjim (selepas ini dinyatakan sebagai Kitab al-Tafhim sahaja) menjelaskan falak sebagai sfera atau orbit langit, sebagaimana kenyataan berikut:

“Sfera samawi di mana objek-objek langit mengelilingi dalam bentuk orbit masing-masing dan ianya mengandungi objek-objek yang bergerak dengan sfera masing-masing dengan Bumi berada di tengah-tengahnya.”

Ibn Khaldun dalam Muqaddimah mendefinisikan ilmu falak dengan kenyataan:

“Ilmu yang mempelajari pergerakan bintang-bintang tetap dan planet-planet. Pemerhatian cara mana pergerakan itu berlaku, membolehkan pengetahuan ciri-ciri pergerakan dan kedudukannya diketahui dengan geometri.”

Selain ilmu falak, terdapat beberapa lagi cabang ilmu yang mempunyai skop hampir sama seperti ilmu nujum, ilmu bintang dan ‘ilm al-hay’a. Menurut Saliba (1994), ilmu nujum (‘ilm al-nujum) ialah sains mengenai bintang-bintatang yang terdiri daripada astrologi dan astronomi. Astrologi dalam bahasa Arab dinamakan ‘ilm ‘ahkam atau tanjim yang mengkaji kesan bintang-bintang dan cakerawala terhadap kehidupan. Sebaliknya, astronomi atau ilmu falak adalah merujuk kepada ‘sains tentang sfera’ atau dinamakan juga sebagai ‘ilm al-hay’a. Dalam bahagian lain, Saliba (1994:57) menyatakan:

Dalam kebanyakan karya falak tamadun Arab, astrologi dan astronomi dibincangkan di bawah tajuk ‘ilm al-nujum, tetapi dipisahkan kepada ‘ilm al-hay’a bagi ilmu falak sebenar dan ‘ilm al-‘ahkam, bagi astrologi.

Di Alam Melayu, istilah-istilah ilmu bintang, ilmu mikat dan ilmu falak digunakan secara bercampur-campur dengan pengasingan yang kurang jelas. Istilah ilmu bintang berasal daripada perkataan ilmu nujum yang digunakan bagi pengertian yang sama dengan ilmu falak. Penggunaan istilah ilmu bintang ini dianggap selesa bagi orang-orang Islam Alam Melayu kerana ada Hadis Nabi yang bermaksud:[2]

“Belajar kamu daripada ilmu nujum barang yang dapat petunjuk kamu pada segala kelam di daratan dan lautan kemudian berhenti kamu. “

Penggunaan istilah ilmu bintang bagi ilmu falak di Alam Melayu juga berkaitan dengan kepopularan ilmu Bintang Dua Belas yang mengandungi ilmu perlangkahan, ilmu ramalan, ilmu ketika dan ilmu rasi. Dalam pada itu, istilah ilmu mikat juga berleluasa digunakan sebagai sebahagian skop ilmu falak. Haji Muhammad Nur Bin Ibrahim dalam karyanya Pilihan Mastika (hlm. 8), menjelaskan ilmu mikat sebagai:

“Ilmu yang dapat diketahui dengan dia masa-masa siang dan malam, dan keadaannya, bicaranya perjalanan Matahari dan bintang-bintang. Faedahnya, mengetahuikan waktu ibadat dan kiblat.”

Dalam naskhah Syamsul Fattiyah oleh Haji Umar Bin Ismail Nurudin, ilmu mikat ditakrifkan sebagai, ‘ilmu yang diketahui dengannya segala masa bagi segala hari dan malam dan segala halnya.’ Berdasarkan tafsiran-tafsiran ini, jelas menunjukkan ilmu mikat merupakan sebahagian daripada aplikasi ilmu falak yang dikhususkan berkaitan waktu, termasuk waktu-waktu awam, waktu solat dan penentuan arah kiblat. Walau bagaimanapun, disebabkan beberapa aspek ilmu mikat ini memerlukan pengetahuan maklumat fizikal dan geografi, maka pengkhususan ini (khususnya di Alam Melayu) menjadi longgar berbanding dengan kedinamikan ilmu falak. Menjelang 1980-an, istilah ilmu mikat digantikan pula dengan istilah ilmu falak syarie. Justeru itu, skop ilmu falak yang lebih sesuai sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh Zuber Umar al-Jailani dalam al-Khulasatul Wafiyyah (hlm. 4). Syeikh Zuber Umar al-Jailani membahagikan ilmu falak kepada tiga bahagian, deskriptif (wasfi), tabii dan amali. Ketiga-tiga bahagian ini merupakan skop ilmu falak yang meliputi pengetahuan teori termasuk penjelasan hukum syariah yang berkaitan dengannya, konsep fizikal dan astrometri. Manakala ilmu falak amali berkaitan pula dengan penggunaan peralatan, kaedah cerapan dan hitungan. Skop ilmu falak ini lebih sesuai dengan sejarah gemilang ilmu falak tamadun Islam dan penggunaannya di Alam Melayu.

Perkembangan Ilmu Falak Tamadun Islam

Perkembangan ilmu falak yang terawal, tertumpu kepada beberapa tamadun utama yang terawal, iaitu tamadun Maya, Sumeria, Babilon, Yunani dan China. Lokasi di mana bertapaknya tamadun Sumeria dan Babilon di Mesopotamia, merupakan tempat yang sama munculnya tamadun Islam pada kurun ke-7 M sehingga ke-15 M. Antara catatan pencerapan terawal ilmu falak dalam tamadun manusia sebagaimana dilakukan oleh kaum Assyrian di Sumeria (sekarang di selatan Iraq), kira-kira 2000 tahun S.M. Mereka telah merekodkan kejadian-kejadian gerhana yang berlaku di tempat mereka melalui artifak dan lukisan purba yang membolehkan ahli-ahli sejarah sains menggunakan rekod ini untuk mengesan perubahan putaran Bumi dalam masa hampir 3000 tahun (Stephension, 1987). Rekod terawal cerapan ilmu falak dalam tamadun Islam pula dilakukan oleh Ahmad al-Nahawandi pada tahun 800M berkaitan kajian pergerakan Matahari di Jundishapur (Nasr, 1976). Menurut Hosking & Gingerich (1999), sebahagian cendiakiawan yang berada di Jundishapur ketika ini merupakan pengikut-pengikut sekolah Aristotle dan Ptolemy yang ditutup oleh Maharaja Zeno pada kurun ke-5 M. Walau bagaimanapun, penterjemahan pertama karya matematik falak adalah dilakukan oleh al-Fazari pada tahun 772 M, yang menterjemahkan naskhah al-Sindhind al-Kabeer daripada bahasa Hindu kepada bahasa Arab (King, 1997). Terdapat juga maklumat bahawa penterjemahan naskhah zidj al-Arkand dilakukan di wilayah Sind, India seawal tahun 735 M (Encyclopaedia of Islam, 1979). Aktiviti ilmu falak dalam peringkat awal tamadun Islam dipraktikkan dalam dua bentuk; pertama, ilmu falak amalan biasa daripada tradisi Arab dan Yunani dan kedua ialah ilmu falak yang menggunakan teknik-teknik matematik. Ilmu falak amalan biasa merupakan sebahagiannya merupakan sains rakyat, manakala teknik-teknik matematik yang asas merupakan warisan sains Yunani.

Pengaliran ilmu falak Yunani dan Hindu berlaku ke dalam tamadun Islam berlaku secara lebih berkesan melalui aktiviti penyalinan dan penterjemahan sumber-sumber ini ke bahasa Arab. Penterjemahan juga merupakan salah satu daripada aktiviti penting Baitul Hikmah yang ditubuhkan oleh Khalifah al-Ma’mun pada tahun 830 M. Selain aktiviti penterjemahan, aktiviti lain yang lakukan ialah penilaian semula sains silam, memperbaiki geometri dan paramater samawi serta kajian-kajian baharu bagi menyesuaikannya dengan keperluan agama Islam ketika itu. Perkembangan ini sejajar dengan kemajuan matematik Islam yang berlaku pada masa yang hampir sama, melalui pembaharuan dan penemuan kaedah-kaedah matematik yang dilakukan oleh al-Khawarizmi (l. 770 M), Ibn Ishaq (l. 800 M), Thabit Ibn Qurra (l. 836 M), Ali Ibn Rabban (l. 838 M) dan al-Batanni (l. 858 M). Antara bidang matematik yang menjadi tumpuan ketika ini ialah aritmetik, aljabar, geometri dan trigonometri. [Lihat kompilasi kerja-kerja matematik oleh al-Khawarizmi sebagaimana terdapat dalam Islamic Mathematical and Astronomy, Vol. 3, Vol. 4, Vol. 5 & Vol. 6, oleh Fuat Sezgin (1998) dan kupasan sejarah aritmetik dan aljabar Islam oleh Mat Rofa (1995)]. Kemajuan-kemajuan dalam bidang matematik ini juga membolehkan model matematik yang menunjukkan hubungan antara hasil cerapan dengan konsep geometri samawi diperbaiki. Pembentukan model ini dilakukan bagi memenuhi tujuan utama dalam hitungan falak, iaitu mengunjurkan kedudukan objek langit ke waktu yang dikehendaki atau sebaliknya. Melalui pembaharuan dalam konsep geometri dan trigonometri pula, ahli-ahli falak ketika zaman tamadun Islam telah memperbaiki dan menyusun semula konsep mengenai bulatan-bulatan dan garisan-garisan sfera langit, katalog bintang-bintang dan buruj-buruj, orbit planet-planet serta kaedah penyelesaian segi tiga sfera falak. Pembaikian dan penyusunan semula konsep-konsep sfera langit dan aspek astrometri ini juga sepadan dengan penemuan-penemuan baharu optik dan fizik oleh sarjana-sarjana terawal tamadun Islam seperti al-Sufi (l. 903 M), Abu Wafa al-Buzjani (940 M – 998 M), Ibn al-Haitham (965 M – 1040 M), Abu Raihan al-Biruni (973 M – 1048 M) dan Ibnu Sina (981 M – 1037 M). Hasil daripada penerbitan dan pembuktian rumus-rumus falak ini membolehkan kedudukan cakerawala dihitungkan dan dipaparkan pada satu jadual yang dinamakan jadual falak (zij) atau almanak. Jadual falak ini pula boleh digunakan sebagai data pra-hitungan dan unjuran cakerawala yang boleh dijelmakan pada bila-bila masa yang untuk sesuatu tujuan. Kemajuan penciptaan peralatan cerapan dan pengukuran juga mempunyai hubungan yang kukuh dengan asas matematik yang mereka digunakan, disamping kemajuan dalam bidang optik dan kejuruteraan. Ahli-ahli falak pada zaman tamadun Islam juga telah melakukan rekacipta dan melakukan inovasi terhadap peralatan cerapan yang digunakan. [Lihat dalam Aydin (1981) dan King (1987)]. Dalam rekabentuk peralatan, ketinggian nilai seni Islam dijelmakan dengan jelas, sarat dengan makna dan nilai estetika, sebagaimana dibincangkan dalam Nasr (1976). Begitu juga dengan perhatian berat ahli-ahli falak zaman tamadun Islam terhadap metodologi dan kesahan saintifik dalam setiap kajian yang mereka dilakukan. Al-Biruni misalnya telah menggunakan semua metodologi penyelidikan yang zaman moden ini dinamakan sebagai kajian etnografi, kajian kes, analisis kandungan, historiografi dan fenomenalogi. Kenyataan ini merujuk kepada hasil penulisan al-Biruni tentang sejarah bangsa-bangsa di dunia, politik, sains sosial, sains tabii, sains silam dan geografi.[3] Langkah sarjana-sarjana Islam mendokumentasikan karya-karya dan merekodkan cerapan falak mereka secara sistematik juga menjadi penyebab utama ilmu falak dan ilmu-ilmu sains lain berkembang ke Eropah dan sebahagian besar dunia selepas zaman tamadun Islam.

Selepas abad ke 14 M, kerancakan aktiviti berkaitan ilmu falak dunia Islam di wilayah utama seperti di Damsyik, Kufah, Basrah dan Baghdad telah beralih ke wilayah lebih utara seperti di Kaherah, Andalusia dan Cardova. Manakala ke sebelah timur pula, tempat penyebaran ilmu pengetahuan tamadun Islam yang baharu meliputi wilayah seperti Khurasan, Samarkand dan India dengan sejumlah lagi ahli-ahli falak yang terkemuka. Kerja-kerja mereka bersambung dari zaman sebelumnya, terutama berkaitan penyediaan jadual falak dan sistem planetari. Ilmu falak zaman tamadun Islam juga telah memberi impak ketara kepada Eropah, berikutan dengan kemajuan ilmu falak di Istanbul pada kurun ke 15 M dan pengaliran ilmu melalui tamadun Islam di Andalusia. Menurut Hevelius (1981), seorang anggota penyelidik dari Balai Cerap Samarkand bernama Ali Kushchi telah membawa sejumlah karya falak Ulugh Beg ke Istanbul selepas kematian Ulugh Beg pada tahun 1449 M. Koleksi inilah yang telah mempengaruhi astronomi Eropah selepas kurun ke 17 M. Sekurang-kurangnya terdapat dua tokoh Eropah yang penemuan falaknya banyak bergantung kepada hasil kerja Ulugh Beg, iaitu Tycho Brahe (1546 M-1601 M) dan Jan Hevelius (1611 M-1687 M). Raja Alfonso X (1221 M – 1284 M) pula telah memainkan peranan penting dalam memajukan ilmu falak di Eropah, melalui Sepanyol. Beliau telah mengarahkan kerja-kerja penterjemahan karya-karya agung Islam daripada bahasa Arab ke bahasa Castillian pada zaman pemerintahannya. Selepas abad ke 14 M, karya-karya ini diterjemahkan pula ke bahasa Latin oleh golongan ‘cendikiawan Vatican’ (Procter, 1998).

Ahli-ahli falak zaman Uthmaniyyah kemudiannya meneruskan aktiviti falak secara sederhana selepas kurun ke-17 M, khususnya di Damsyik dan Kaherah. Manakala, empayar Moghul di India sekitar pertengahan kurun ke-17 M menjadi lokasi terakhir terbinanya balai cerap dalam tamadun Islam dengan beberapa hasil kajian lagi. Menurut Nadvi (1946), antara kejayaan kajian-kajian ilmu falak pada zaman ini termasuklah kajian bagi mendapatkan nilai tepat pusingan sinod bagi Bulan, pengesahan titik hitam Matahari serta menjumpai beberapa objek bintang yang disyaki sebagai planet. Objek bintang yang dikaji oleh ahli-ahli falak Islam di India ini sebenarnya ialah planet Uranus, Neptun dan Pluto yang disah dan dinamakan oleh ahli-ahli astronomi Eropah satu abad selepasnya. Kerajaan Uthmaniyyah juga telah menjadikan Mekah dan Madinah sebagai pusat perkembangan kebudayaan Islam. Sehubungan dengan itu, kedua-dua lokasi ini juga menjadi tempat di mana ilmu sains tabii warisan tamadun Islam disampaikan melalui sistem pengajian Islam yang wujud ketika itu. Sebahagian besar ulama-ulama Alam Melayu yang menuntut ilmu pengetahuan di sini telah didedahkan dengan sumber sains tamadun Islam ini. Sebagai buah ilmu, para ulama ini kemudiannya menyalin semula naskhah-naskhah utama untuk dibawa balik ke Alam Melayu atau membuat karya baharu berdasarkan sumber ini. Dalam kajian pendokumentasian Kumpulan Etnomatematik INSPEM, UPM, kami telah menemui sekurang-kurangnya dua naskhah lengkap karya falak zaman tamadun Islam yang digunakan oleh ilmuwan falak Alam Melayu. Antaranya Risalah al-Maridini Fi A’amali Rubu’ Mujayyab yang merupakan karya Sibt al-Miridini (865 H/1460 M) dan zij Ulugh Beg (kurun ke 15 M) yang dikatalogkan sebagai MS 812 dalam koleksi Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia. Di samping itu, sejumlah konsep ilmu falak sains tamadun Islam telah dikesan penggunaannya dalam aplikasi falak Alam Melayu, sama ada secara sepenuhnya atau melalui proses penyesuaian.

Ilmu Falak Alam Melayu

Ilmu falak merupakan pengetahuan asas yang terdapat dalam semua tamadun. Begitu juga dengan Alam Melayu, di mana penduduk peribuminya telah mempunyai pengetahuan tentang Matahari, Bulan dan bintang-bintang yang menjadi petunjuk arah dan musim. Pengaruh Hindu dan Buddha ke Alam Melayu yang bermula selewat-lewatnya pada kurun pertama Masehi telah memantapkan pengetahuan asas peribumi tentang ilmu falak dari segi kognitif dan berlaku penamaan semula unsur-unsur dan simbol-simbol ilmu falak daripada bersifat tempatan mengikut Hindu dan Buddha.[4] Pengaruh ini boleh dilihat pada candi Borubodur di Jawa dan Angkor Wat di Kampuchea yang sarat dengan unsur-unsur kosmologi sebagaimana dinyatakan dalam Dumarcay (1978) dan Stensel et. al (1976). Perkembangan ilmu falak di Alam Melayu mengalami perubahan besar dengan kedatangan Islam yang bukan sahaja mengubah epistimologi ilmu ini, malahan menonjolkan aplikasi ilmu falak yang lebih berkesan. Secara beransur-ansur pengetahuan ilmu falak zaman tamadun Islam meresap dalam pengetahuan masyarakat Alam Melayu mengikut keperluan semasa, terutamanya bagi memenuhi keperluan ibadat. Tumpuan penyebaran ilmu pengetahuan juga berubah daripada tertumpu di istana dan golongan bangsawan kepada penyebaran melibatkan masyarakat terbanyak. Berbanding penyebaran ilmu pengetahuan di Alam Melayu semasa era Hindu yang tertumpu kepada keraton dan golongan bangsawan sebagaimana dijelaskan dalam al-Attas (1990).

Unsur-unsur Etnosains dan Pengaruh Hindu

Terdapat sekurang-kurangnya lima buah kerajaan purba yang mendominasi beberapa bahagian geografi Alam Melayu sebelum kedatangan Islam pada abad ke 14 M. Antaranya, kerajaan Funan (abad 4 M sehingga 5 M), kerajaan Champa (abad 7 M sehingga pertengahan abad 15 M), kerajaan Melayu Sumatera (abad ke 7 M), Srivijaya (abad 5 M sehingga abad 14 M) dan kerajaan Majapahit (abad ke 13 M sehingga abad 16 M).[5] Kronologi pemerintahan ini juga menunjukkan manusia di Alam Melayu telah mengembara untuk perbagai tujuan, sama ada meluaskan jajahan takluk masing-masing, perdagangan, penyebaran agama dan mencari kawasan subur untuk penempatan dan pertanian. Justeru itu, pemahaman tentang alam daripada pelbagai etnik di Alam Melayu bercampur baur dalam proses asimilisasi budaya. Antara pemikiran alam yang terawal difahami manusia ialah kewujudan cakerawala di langit, seperti Matahari, Bulan dan bintang-bintang dengan gambaran buruj masing-masing. Pemikiran masyarakat awal Alam Melayu tentang cakerawala juga dimanfaatkan untuk kegunaan petunjuk arah dan penandaan musim. Untuk kegunaan petunjuk arah, pengetahuan tentang bintang Tujuh atau bintang Tujuh Beradik digunakan. Terdapat dua versi berkaitan dengan bintang Tujuh, pertama yang berdasarkan pengetahuan asal Alam Melayu, merujuk kepada gugusan bintang yang terletak dalam gugusan buruj Taurus. Bintang ini termasuk dalam kumpulan buruj khatulistiwa, menyebabkannya boleh kelihatan hampir dua pertiga tempoh masa dalam satu tahun. Oleh kerana bentuk bintang ini menarik, dengan satu dari bintang yang cerah mengadap ke arah selatan ketika berada di tengah langit, pengembara di Alam Melayu telah menggunakan sebagai panduan untuk ke utara dan selatan.[6] Penggunaan bintang Tujuh sebagai panduan arah utara/selatan di Alam Melayu lebih praktik kerana bintang Kutub sukar kelihatan daripada kawasan geografi ini. Apabila budaya Hindu meresap di Alam Melayu, bintang ini dikenali sebagai bintang Kutika atau bintang Kartika yang secara etimologinya menjadi asas kepada perkataan ‘ketika’ yang merujuk kepada ‘waktu yang tertentu’. Pengetahuan kedua tentang bintang Tujuh yang berasaskan pengetahuan Hindu, iaitu ‘ketika Tujuh’, yang terdiri daripada Bulan dan Matahari serta lima planet cerah, iaitu: Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal. Bintang Tujuh ini diambil menjadi nama hari dalam sistem satu minggu tujuh hari pada takwim Hindu/Jawa; Diti, Soma, Ang’gara, B’udha, Raspat’i, Sukra dan Sanischara (Raffles, 1965).[7] Penggunaan bintang Tujuh hasil pengaruh Hindu ini lebih ketara penggunaannya di Alam Melayu dalam ilmu bintang yang menggunakan takwim dan waktu untuk tujuan ramalan.

Takwim dalam aktiviti pertanian juga berkisar kepada penandaan waktu dan musim bagi melakukan kerja-kerja pertanian seperti musim membajak, menanam dan menuai. Tanda-tanda musim yang berlaku secara berulangan dijadikan tanda bagi merakamkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Untuk tujuan ini, ulangan musim yang disebabkan perubahan Matahari digunakan, walaupun perubahan ini tidak begitu ketara di Alam Melayu.[8] Begitu juga dalam ikhtiar hidup seharian seperti aktiviti pertanian, alam sekeliling mereka menjadi petunjuk bagi setiap peringkat bercucuk tanam yang mereka lakukan. Pengetahuan ini merupakan penyesuaian awal manusia semua tamadun dalam memahami alam dan memanfaatkannya. Masyarakat Alam Melayu yang menyedari sukarnya mengesan permulaan perubahan musim oleh Matahari, telah menggunakan pengetahuan terbitnya bintang Belantik sebagai permulaan takwim untuk menuai.[9] Bagi masyarakat Dayak di kepulauan Borneo pula mereka mengesannya dengan memantau perubahan bayang-bayang satu objek tegak.[10] Kaedah ini menyamai kaedah ‘bulatan India’ yang dijelaskan oleh al-Biruni dan Kitab al-Tafhim (per. 131) dan kaedah-kaedah pengukuran bayang Matahari yang digunakan oleh ilmuwan Yunani.

Selepas Pengaruh Islam

Selepas kedatangan Islam, para ulama yang mengembangkan Islam telah membawa bersama mereka skop ilmu falak yang lebih menyeluruh, meliputi keperluan ibadat khusus dan ikhtiar hidup. Keperluan ilmu falak dalam ibadat khusus termasuk penentuan arah kiblat dan penentuan waktu-waktu solat, manakala dalam ikhtiar hidup seperti ilmu pelayaran, pengukuran, penentuan waktu serta sistem takwim yang lebih sistematik. Aplikasi ilmu falak juga terdapat dalam ilmu tauhid yang berkaitan kejadian dan bentuk alam semesta. Sebagaimana bukti-bukti aplikasi falak sebelum Islam, bukti paling awal aplikasi falak selepas kedatangan Islam juga berdasarkan takwim. Catitan tarikh di batu-batu nisan dan batu bersurat menunjukkan tarikh daripada sistem takwim Islam digunakan. Misalnya, pada Batu Bersurat yang dijumpai di Kampung Tersat, Kuala Berang, Terengganu terdapat catitan yang berkaitan dengan penggunaan takwim hijri, iaitu:[11]

“... adi pertama ada Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di sasanakala Baginda Rasul Allah telah lalu tujuh ratus dua ..”

Begitu juga dengan tarikh yang tercatit pada batu nesan yang dijumpai di Permatang Pasir, Pekan, Pahang. Tulisan tarikh pada batu nesan berkenaan ditafsirkan seperti berikut,

“… waktu subuh hari Rabu 14 haribulan Rabiu Awal tahun Hjrah 419 ...” — (Othman Yatim et. al,1990)

Bukti-bukti pentarikhan pada batu epigrafi di atas menunjukkan ilmu falak telah berada dalam pengetahuan masyarakat Melayu-Islam semenjak peringkat awal perkembangan Islam di Alam Melayu. Pada peringkat ini, ilmu falak disebarkan sebagai satu disiplin ilmu-ilmu agama yang menjadi sebahagian daripada keperluan dalam ilmu fikah. Dominasi para ulama dalam mengembangkan ilmu ini tidak dipertikaikan, bukan semata-mata kerana kewibawaan institusi ulama tersebut, tetapi disebabkan perkaitan rapat ilmu tersebut dengan keperluan agama. Pendekatan aplikasi falak yang digunakan ketika ini terbahagi kepada dua, pertama melalui kaedah ijtihad dengan aplikasi literasi dan kedua penggunaan kaedah falak bermatematik dengan penggunaan jadual falak (zij) dan sifir-sifir logaritma. Kaedah falak bermatematik pada peringkat ini juga termasuk trigonometri dan geometri. Ulama-ulama fikah mahir dalam kedua-dua pendekatan ini dan menggunakannya semasa menghuraikan aplikasi falak dalam ibadat. Kaedah ijtihad dengan aplikasi literasi ini banyak terdapat dalam kitab-kitab fikah yang asas di nusantara. Antaranya dalam kitab Bughyatul Thulab oleh Syeikh Daud al-Fatanni dan Sabilil al-Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Kedatangan penjajah Eropah tidak mengurangkan peranan para ulama tempatan dalam perkembangan ilmu falak. Ini disebabkan ilmu falak dikembang dan dimajukan oleh orang-orang Islam di Alam Melayu sebahagian daripada ilmu-ilmu agama. Institusi ulama ketika ini, sama ada di pondok-pondok pengajian, istana dan tokoh perseorangan bertanggung jawab secara terus kepada masyarakat dalam menyebarkan ilmu falak dan aplikasinya dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, kedatangan Inggeris di Tanah Melayu dan Belanda di Indonesia telah menambah skop aplikasi ilmu falak. Penglibatan kerja ukur trigonometri terawal di Tanah Melayu oleh orang-orang Eropah, dilakukan oleh H.G Deanne pada tahun 1885 untuk penentuan latitud dan azimut di Taiping, Perak.[12] Aktiviti lain ahli-ahli falak Eropah di Alam Melayu, termasuklah koordinasi antarabangsa bagi pembaikian data-data tentu kedudukan objek langit (almanac) dan koordinat geografi bumi. Ini bagi memenuhi retorik monopoli perjumpaan-perjumpaan baru yang sedang berlaku di kalangan bangsa-bangsa Eropah. Bagi para ulama Alam Melayu, ilmu falak yang mereka kembangkan telahpun memasukkan aktiviti ini dalam kaedah-kaedah falak yang mereka praktikkan. Misalnya, Syeikh Ahmad bin Abdul Latiff al-Minangkabaui al-Khatib telah membincangkan kaedah penentuan latitud dan longitud bumi dan menyenaraikan sejumlah nilai koordinat ini dalam karyanya Riad al-Wardiyyah dan al-Jauharun Naqiyah fil A’amali Jaibiyah. Kedua-dua makalah ini telah berada di persada Alam Melayu selewat-lewatnya sekitar 1880-an. Begitu juga dengan peralatan pelayaran seperti kompas dan sukuan telah digunakan oleh ahli-ahli falak tempatan bagi tempoh masa yang sama. Justeru itu, ilmu falak yang dibawa oleh orang-orang Eropah ke Alam Melayu, melalui aplikasi ilmu pelayaran dan ilmu ukur. Penjajah Inggeris didapati tidak banyak melakukan kajian falak di Tanah Melayu, berbanding dengan penjajah Belanda yang banyak melakukannya di tanah jajahan mereka di Hindia Timur (kemudian menjadi negara Indonesia). Keadaan ini mungkin disebabkan pihak Inggeris telahpun mendirikan balai cerap mereka sendiri di Madras pada tahun 1792 M atau pihak Inggeris melakukannya di tanah jajahan mereka di Australia yang langit selatannya lebih luas. Menurut Bambang Hidayat (2000), ahli-ahli falak Belanda seperti Johan Mayritz Mohr ada merekodkan cerapan transit Zuhrah (‘Venus’) di Betawi (sekarang Jakarta) pada 1760-an. Manakala seorang ahli pelayaran Belanda, Frederick de Houtman pada tahun 1603 M telah menamakan sebahagian buruj langit selatan semasa berada di wilayah kelautan Alam Melayu. Walau bagaimanapun, dominasi para ulama dalam menyebarkan ilmu falak dan aplikasinya di Alam Melayu tidak terjejas dengan kedatangan penjajah Eropah.

Beberapa Aplikasi Ilmu Falak Alam Melayu

Ilmu falak Alam Melayu diamalkan bagi memenuhi keperluan ibadat dan kehidupan seharian. Berdasarkan kajian terhadap koleksi naskhah falak, bidang utama ilmu falak Alam Melayu terdiri daripada pengukuran waktu, takwim, jadual falak, penggunaan Sukuan Sinus dan ilmu Bintang Dua Belas. Dalam bahagian ini, kami akan menunjukkan bagaimana setiap prinsip ilmu falak dalam bidang utama ini mempunyai hubungan langsung dengan sains tamadun Islam.

Pengukuran Waktu

Pengukuran waktu yang berdasarkan perubahan kedudukan Matahari merupakan pengetahuan asas manusia. Walau bagaimanapun, pengetahuan yang tidak piawai ini tidak dapat mengikat penggunaannya bagi satu kelompok masyarakat yang lebih besar. Justeru itu, pengukuran waktu menggunakan sukatan yang piawai dan dirujukkan kepada permulaan garisan langit tertentu. Dengan menggunakan ketinggian satu objek tegak (gnomon), pengukuran panjang bayang-bayang Matahari menggunakan skala dengan unit ‘pijak’ dan ‘jari’. Dalam sejarah trigonometri oleh ahli-ahli matematik Islam, unit ini dinamakan qadam bagi pijak dan asabi’ bagi jari. Penggunaannya di Alam Melayu sebagaimana dalam manuskrip MS Malay d.1:

“... dan dalam buruj Mizan berpaling ia pada pihak selatan maka sebanyak-banyak berpaling itu lima pijak lima jari maka pada ketika itu adalah waktu asar dua belas pijak kurang sejari kerana waktu asar itu jika bersamaan bayang-bayang enam pijak enam jari demikianlah keadaannya ...”

Bagi rujukan waktu pula, terdapat dua sistem waktu awam yang digunakan di Alam Melayu, iaitu sistem waktu zawali dan waktu ghurubi. Waktu zawali merupakan sistem waktu yang permulaannya merujuk kepada peristiwa Matahari berada di garisan langit yang menghubungkan titik utara ke selatan. Dalam naskhah Nil al-Matlub fi a’amali Juyyub (hlm. 12), waktu zawali didefinisikan sebagai:

“... waktu yang dibangsakan bagi gelincir Matahari, adapun waktu zuhur maka pukul dua belas selama-lamanya ...”

Oleh kerana rujukan dibuat ketika Matahari berada di meridian tempatan, perubahan kedudukan Matahari selepas ini sebenarnya pertambahan sudut jam Matahari. Setiap satu jam perubahan dalam waktu zawali menunjukkan perubahan satu jam sudut jam Matahari. Waktu-waktu lain dalam sistem waktu zawali dibaca berdasarkan perubahan kedudukan Matahari dari garisan tengah hari ini ataupun perubahan bayang-bayang yang ditunjukkan oleh jarum bayang jam Matahari. Secara praktik, waktu zawali yang tepat ditunjukkan oleh jam Matahari, tetapi waktu zawali ini juga perlu dipasang pada jam mekanikal seperti jam bandul ataupun jam ‘spring’ untuk kegunaan awam yang lebih praktik. Sistem waktu ghurubi pula merupakan sistem waktu yang permulaannya dirujukkan dengan fenomena Matahari terbenam tempatan. Waktu fenomena ini dijadikan tetap pada jam 6, dengan waktu-waktu lain dipadankan dengan sebelum waktu Matahari terbenam. Dalam Pedoman Bahagia (hlm. 12), dijelaskan waktu ghurubi sebagai:

“... adalah saat ghurubiyah itu ialah jam yang dipakaikan mengikut jatuh Matahari dengan dijadikan waktu itu pukul enam selama-lamanya ...”

Dari segi praktik, waktu Matahari terbenam dicerap dan waktu ini dipasang pada jam mekanikal sebagai jam 6. Dalam jadual waktu solat yang menggunakan sistem waktu ghurubi, waktu solat maghrib tidak dipaparkan, kerana sentiasa berlaku jam 6. Di Alam Melayu, penggunaan bintang dan manzilah bulan untuk penentuan waktu sebelah malam tidak popular. Melalui kajian kami, didapati kaedah ini hanya dinyatakan dalam naskhah Pilihan Mastika (hlm. 31). Melalui kaedah ini seseorang yang hendak mengetahui waktu pada malam hari, hendaklah mengetahui manzilah kelapan daripada buruj Matahari yang terbit ketika Matahari terbenam. Ukur ketinggian manzilah ini di sepanjang garisan utara/selatan langit dan lakukan hitungan untuk mendapatkan sudut jamnya. Untuk mendapatkan waktu ghurubiyah, campurkan sudut jam manzilah berkenaan dengan waktu ghurubiyah yang hakiki (jam 6). Selepas pengaruh Eropah dan pembahagian kawasan geografi mengikut longitud tertentu, waktu awam yang diistilahkan sebagai ‘waktu keretapi’ atau ‘waktu orang putih’.

Bagi hitungan waktu-waktu solat pula, hukum asalnya menggunakan fenomena perubahan kedudukan Matahari dan pandangan rupa Bumi. Pada peringkat awal kaedah penentuan secara deskriptif atau dinamai kaedah-kaedah ‘ijtihad’ mendominasi penjelasan konsep berkenaan. Pendekatan kedua pula menggunakan kaedah-kaedah hitungan matematik. Kedua-dua kaedah ini terdapat dalam naskhah falak Alam Melayu. Misalnya, dalam perbincangan waktu solat zuhur, sebagaimana catatan dalam Sabilil al-Muhtadin (hlm. 148):

“... (bermula) awal waktu zuhur itu daripada zawal ertinya gelincir Matahari daripada khet nisf an-nahr yang ia pertengahan langit kepada pihak maghrib pada yang zahir bagi kita tiada pada diri pekerjaan dan diamnya sampai Matahari kepada pertengahan langit itu dengan hala istiwa ertinya ketika rembang Matahari dan ketahui zawal Matahari itu dengan beberapa perkara setengah daripadanya dengan bertambah bayang-bayang sesuatu atas bayang-bayangnya pada ketika rembang Matahari jika ada bayang-bayang rembang atau dengan mendatang bayang-bayang sesuatu jika tiada ada baginya bayang-bayang pada ketika rembang ...”

Dalam petikan di atas, tiada hitungan yang perlu dilakukan, sebaliknya waktu solat (iaitu waktu zuhur) ditentukan dengan cerapan nampak. Manakala kaedah hitungan waktu solat dengan menggunakan konsep matematik pula merupakan hitungan sudut jam Matahari. Misalnya bagi hitungan waktu solat isya atau subuh yang berlaku ketika Matahari berada pada sudut tunduk 17º dan subuh 19º. Langkah-langkah hitungan secara deskriptif bagi operasi Sukuan Sinus yang dinyatakan dalam Nil al-Mathlub Fi A’amali Juyub (hlm. 13) sebagaimana berikut:

“... (dan adapun waktu isya), maka tambahi oleh mu akan bu’d qutr atas jaib tujuh belas darjah pada muafakat mail dan aradh dan kurangkan oleh mu akan dia daripadanya pada yang bersalahan mail dan aradh. Dan bermula barang yang antara benang dan permulaan qaus tambahi oleh mu atasnya nisf al-fadhlah pada yang bersalahan mail dan aradh, dan kurangkan oleh mu akan dia daripadanya pada yang muafakat mail dan aradh. Maka barang yang telah hasil itu dibilang daripada pukul dua belas, itulah waktu isya ...”

Operasi di atas sebenarnya penyelesaian sudut jam Matahari bagi rumus trigonometri yang digunakan oleh Ibn Yunus (kurun 11 M) sebagaimana berikut:

kos t = sin h –sin d sin j

kos d kos j

Di mana, h ialah nilai sudut tunduk Matahari dari ufuk, d ialah sudut istiwa Matahari (mail) dan j ialah nilai latitud tempatan (aradh). Kaedah-kaedah hitungan secara deskriptif ini juga digunakan untuk semua hitungan falak dan geometri yang menggunakan persamaan trigonometri.

Penentuan Koordinat Geografi Tempatan

Dalam naskhah falak Alam Melayu, istilah yang sering digunakan bagi latitud Bumi ialah ‘aradh balad’ dan bagi longitud Bumi sebagai thul balad’, kecuali dalam naskhah Pati Kiraan di mana Syeikh Tahir yang menggunakan istilah lintang negeri’ dan lanjut negeri’. Latitud Bumi ditakrifkan oleh Syeikh Ahmad al-Khatib dalam al-Nukhbatul Bahiyyah (Bab 6) sebagai;

“... aradh negeri ertinya jauh negeri daripada khatulistiwa ...”

Dalam naskhah Sabilil al-Muhtadin, nilai latitud Bumi dinyatakan sebagai ‘tinggi bintang Qutbi itu daripada tepi langit adalah sama dengan kadar jauh negeri itu daripada khatulistiwa’. Ketinggian Qutbi (h) yang diukur dari ufuk sesuatu negeri akan memberikan nilai latitud (j) bagi sesebuah negeri. Walau bagaimanapun, dari segi praktiknya, sebahagian geografi Alam Melayu tidak dapat melihat bintang Qutbi dengan jelas, justeru itu penggunaan bintang Qutbi di Alam Melayu untuk penentuan latitud tempatan amat terhad. Kaedah yang lebih praktik menggunakan nilai ketinggian Matahari (yang diukur) ketika berada di meridian tempatan atau ketika ketinggian maksumum. Kaedah ini dibincangkan dalam kebanyakan naskhah falak berkaitan Sukuan Sinus. Untuk mendapatkan nilai ketinggian Matahari ketika ini, pengukuran ketinggian Matahari dilakukan secara berulangan sehingga mendapat ketinggian yang maksimum. Rumus penentuan latitud Bumi dinyatakan secara deskriptif dalam Nukhbatul Bahiyyah (Bab 6), Pedoman Bahagia (Bab 5) dan Syamsul Fattiyyah (hlm. 47 dan 48).

Untuk penentuan nilai longitud tempatan pula, terdapat beberapa kaedah yang dibincangkan dalam naskhah falak Alam Melayu. Antara kaedah yang terdapat dalam naskhah Nil al-Mathlub fi Aamali Juyyub (Bab 13) dan dalam Pati Kiraan (hlm. 163), menggunakan kaedah cerapan masa sentuhan gerhana Bulan dan Matahari antara dua tempat. Longitud sesuatu tempat diperolehi dengan menggunakan perbezaan waktu zawaliah di antara tempat yang diketahui longitud dengan tempat yang tidak diketahui longitudnya. Syeikh Tahir mempraktikkan kaedah ini dengan menggunakan maklumat waktu-waktu berlaku sentuhan gerhana Bulan antara Kuala Kangsar di Perak dengan Kaherah di Mesir yang berlaku pada 8 Januari 1936 untuk menyemak longitud Kuala Kangsar, Perak. Kaedah yang sama juga pernah dipraktikkan oleh al-Biruni sebagaimana penjelasan dalam Kitab Tahdid al-Amakin untuk penentuan longitud Ghaznah, berdasarkan perbezaan waktu sentuhan gerhana yang berlaku dengan Baghdad. Menurut Kennedy (1970 & 1973), cerapan gerhana bulan ini berlaku pada bulan Mei tahun 997 M, di mana al-Biruni melakukan cerapan di Ghaznah dan Abu Wafa al-Buzjani di Baghdad. Longitud sesuatu tempat juga boleh diketahui dengan menggunakan perbezaan jarak antara satu tempat yang diketahui longitudnya dengan tempat yang hendak dicari nilai longitudnya. Dalam Syamsul Fatiyyah (hlm. 61), hubungan ini diberikan sebagaimana catatan; ‘... satu darjah daripada muka Bumi iaitu lima puluh enam mil dua thuluth... ’. Nilai yang sama diberikan oleh al-Biruni dalam Kitab al-Tafhim (per.208). Untuk rujukan longitud Bumi, terdapat sekurang-kurangnya dua tempat rujukan, sama ada menggunakan Jazairil Khalidat atau di satu tempat lain yang dinamakan Laut Barat. Menurut Kennedy (1993), kedudukan Jazairil Khalidat adalah 10° ke timur Laut Barat, dengan kedua-dua tempat ini berbeza antara 10° sehingga 13½°. Justeru itu, nilai longitud Mekah dan tempat-tempat di Alam Melayu juga dinyatakan dalam beberapa nilai yang berbeza. Berdasarkan analisis terhadap kebanyakan naskhah falak Alam Melayu selepas 1920-an menggunakan rujukan Jazairil Khalidat. Rujukan longitud pada Laut Barat pula digunakan oleh Syeikh Ahmad al-Khatib dalam karyanya al-Jauharun Naqiyah dan diikuti pula oleh Syeikh Umar Ismail Nurudin dalam Syamsul Fatiyyah. Dalam karya-karya Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin selepas 1930-an, beliau menggunakan nilai longitud yang dirujuk dari Greenwich.

Penentuan Arah Kiblat

Arah kiblat merupakan arah ke Kaabah yang dihadapkan seseorang semasa melakukan solat dan beberapa ibadat lain. Syeikh Abdul Aziz an-Nayyiri sebagai seorang pedagang dan pendakwah yang pertama menjejakkan kaki di Melaka, telah melakukan solat asar dengan mengadap kiblat sebaik sampai di pantai. [Lihat dalam Sulatat us-Salatin, hlm. 50]. Arah kiblat bagi negeri Melaka pula dinyatakan dalam Sulatat us-Salatin (hlm.69) sebagai mengadap ke arah ‘Matahari mati’. Syeikh Nurudin ar-Raniri pula dalam Sirat al-Mustaqim (halaman 126, pada tepi teks Sabilil al-Muhtadin) menjelaskan arah kiblat bagi Alam Melayu dengan catatan:

“... dan kiblat kebanyakan negeri Melayu dan Acheh berbetulan bintang Qutbi dengan lambung kanan pihak hadapan ...”

Berdasarkan catatan-catatan di atas, arah kiblat dinyatakan berdasarkan pengetahuan sains rakyat. Arah Matahari mati dimaksudkan sebagai arah di mana Matahari terbenam dalam pergerakan hariannya. Walau bagaimanapun, bagi Alam Melayu, arah Matahari terbenam berubah-ubah dengan sudut tertentu daripada garisan timur/barat. Malahan jika arah terbenam ini tepat berlaku di garisan timur/barat, sudut ke kiblat masih selisih sejauh 20° ke utara. Manakala dalam kitab Sirat al-Mustaqim, kedudukan lambung (rusuk) kanan yang diletakkan pada kedudukan bintang Qutbi dan muka mengadap ke arah kiblat, menunjukkan pengetahuan sudut kiblat antara utara sesuatu tempat dengan arah ke Mekah. Pengetahuan bintang Qutbi yang menunjukkan arah utara popular bagi negara latitud tinggi, tetapi di Alam Melayu bentuk buruj Bajak digunakan sebagai ganti bintang Qutbi. Pengetahuan arah utara sesuatu tempat juga merupakan antara pengetahuan asas maklumat geografi sesuatu tempat. Dalam manuskrip MS 2912 yang ditulis oleh Syeikh Arsyad al-Banjari, terdapat grafik yang menunjukkan arah dari Banjarmasin ke Mekah. Dengan adanya kedua-dua maklumat ini, sudut kiblat dari Banjarmasin dapat dihitung. Dalam naskhah Hadiikil al-Salawaati fil Khalawaati wal Jalawaati (hlm. 117) yang ditulis oleh Haji Muhammad Husein Bin Abdul Lathif al-Fathani (Tok Kelaba) pada tahun 1921 M, kaedah penandaan arah kiblat dijelaskan dalam bentuk lakaran grafik dan catatan sebagaimana petikan berikut:

“.... (kata) Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi pada Miraqial A’buddiyah syarah Bidayatul Hidayah, apabila berkehendak ia akan mengenal ainul kiblat bagi ahlil Jawi, maka hendaklah mengetahui ia pada mula-mula akan khatulistiwa daripada masyrik kepada maghrib kemudian hendaklah menjadi ia atasnya akan segala perkara yang bersamaan seperti peluas hal keadaannya disafkan daripada pihak maghrib kepada pihak masyrik dengan enam puluh empat perkara itu dan iaitulah mukadar lebih panjang antara Mekah dan Jawa, kemudian hendaklah menjadi ia daripada pihak maghrib kepada pihak kanan akan disafkan dengan dua puluh satu dan iaitulah lebar Mekah daripada khatulistiwa, (dan) hendaklah menjadi ia daripada pihak masyrik kepada pihak kiri akan disafkan dengan enam, maka iaitulah mukadar lebar bagi Jawa kemudian diguriskan daripada akhir enam itu kepada akhir dua puluh satu maka demikian itu ialah cenderung bagi kiblat ...”

Kaedah penandaan arah kiblat sebagaimana catatan di atas, sebenarnya kaedah secara anggaran yang menganggapkan Bumi sebagai permukaan rata dan garisan timur/barat dari sesuatu tempat selari dengan khatulistiwa Bumi. Dengan menggunakan perbezaan nilai latitud dan longitud antara Mekah dengan sesuatu tempat, nilai ini dijadikan ukuran untuk penandaan arah kiblat di lapangan. Dalam petikan di atas, perbezaan longitud antara Mekah dengan negeri Jawa (Dl) diambil sebagai 64 unit ( ≈ 64°) dan perbezaan latitud Mekah dengan negeri Jawa sebagai (21° + jt) kerana negeri Jawa berada di selatan khatulistiwa. Bagi negeri-negeri yang terletak ke utara khatulistiwa, perbezaan latitud menjadi; (21° - jt). Latitud bagi negeri Jawa (jt) diambil bersamaan 6 unit. Nilai-nilai ini kemudiannya dijadikan ukuran yang ditandakan di lapangan, membentuk segi tiga simetri sebagaimana Rajah 1. Jika nilai-nilai Dl dan (21° ± jt) dijadikan ukuran yang ditandakan di permukaan Bumi, sudut q menunjukkan sudut kiblat dari sesuatu tempat. Geometri bagi kaedah ini dikenal pasti sebagai hitungan sudut kiblat menggunakan rumus tangen; tan q = sin Dl/sin Dj. Menurut King (1993), rumus ini dimajukan oleh al-Battani (w. 929 M) sebagai kaedah anggaran untuk mengetahui sudut kiblat dan sesuai digunakan di negara latitud rendah. Konsep geometri yang sama digunakan secara berleluasa di Alam Melayu melalui penyelesaian hitungan menggunakan peralatan Sukuan Sinus.

Text Box: garisan timur/barat

elain menggunakan kaedah hitungan sudut kiblat, terdapat kaedah yang dinamai; ‘kaifiat mengeluarkan samt kiblah pada barang mana waktu yang dikehendakki’ dalam naskhah Syamsul Fatiyyah (hlm. 44). Mengikut kaedah ini, arah kiblat sesuatu tempat diketahui berdasarkan kedudukan Matahari dalam pergerakan hariannya ada ketika akan bersamaan dengan arah kiblat. Menurut King (1986), kaedah ini dimajukan oleh al-Marrakushi dan Ibnu Yunus pada kurun ke 13 M. Langkah-langkah hitungan secara deskriptif dan kaedah penentuannya di lapangan ada dijelaskan dalam naskhah Syamsul Fatiyyah (hlm. 44 sehingga 48) dan al-Nukhbatul Bahiyyah (Bab 18). Kaedah ini memerlukan maklumat ketinggian Matahari yang dapat memberikan arah ke Kaabah atau dinamai irtifac samt Mekah. Dalam kaedah semasa sebagaimana dijelaskan dalam Baharrudin (2003), pencerap sebenarnya menghitung waktu Matahari bersamaan arah kiblat dan bukannya ketinggian Matahari. Ini disebabkan dalam kaedah falak pra modenisasi ketinggian Matahari diukur untuk mendapatkan waktu tempatan. Jika waktu atau ketinggian Matahari ini diketahui, arah bayang apa-apa objek tegak ketika ini akan menunjukkan arah yang sama dengan kiblat. Selain menggunakan kaedah waktu Matahari dalam pergerakan hariannya yang bersamaan arah kiblat, terdapat satu lagi kaedah yang lebih umum dan mudah untuk kegunaan awam sebagaimana dalam naskhah Tashilil Mabtadain (hlm.14):

“ .... jika olehmu akan kiblat pada tujuh Jauza dan dua puluh tiga Sartan menurut akan bayang-bayang Matahari waktu sudah dijadikan fadlah thulin itu dengan jam ....”

Berdasarkan sumber sains tamadun Islam, kaedah di atas terdapat dalam karya al-Biruni, Kitab Tahdid al-Amakin dan karya Nasir al-Din al-Tusi dalam at-Tadhkirah fi ilm al-hay’a (Jld 3, hlm. 12). Tarikh tujuh Jauza dan dua puluh tiga Sartan, apabila dipadankan dengan takwim Miladi menjadi 29 Mei dan 16 Julai. Padanan tarikh ini dibuat menggunakan tarikh buruj dan tarikh Miladi sebagaimana terdapat dalam Jadual Pati Kiraan (hlm. 1 sehingga 4). Fenomena ini berlaku ketika zuhur di Mekah dan waktu yang sepadan di Alam Melayu diketahui dengan menghitung perbezaan longitud ( ... fadlah thulin ...) dalam jam antara kedua-dua tempat ini. Dalam penggunaan masa kini, kaedah ini dikenali sebagai fenomena istiwa Matahari atas Kaabah yang berlaku setiap tahun pada 28 Mei jam 5.16 petang waktu Malaysia dan sekali lagi pada 16 Julai jam 5.28 petang. [Lihat dalam Baharrudin (2003)]. Secara teori, jika pada waktu tengah hari, Matahari berada tepat di titik zenit Kaabah, maka bayang-bayang objek tegak di timur dan barat Kaabah ketika ini akan menunjukkan arah ke Kaabah. Dari segi astrometri, fenomena ini hanya berlaku apabila nilai sudut istiwa Matahari (d) bersamaan dengan latitud Mekah (jm). Dalam naskhah Sabilil al-Muhtadin (hlm. 149), fenomena ‘hilang bayang rembang’ ini berlaku ketika, d = jm (dinamai sebagai mail adzam), sebagaimana catatan berikut:

“... adalah jauhnya daripada khatulistiwa terkurang daripada mail adzam seperti Mekah sekali pada ketika bertambah mail dan sekali pada berkurang ia (dan demikian lagi) hilang bayang-bayang rembang dua kali dalam setahun pada tiap-tiap negeri yang ada ia pada khatulistiwa tatkala masuk Matahari pada awal (Hamal) dan sekali tatkala masuk pada awal Mizan ...”

Bagi penentuan sudut kiblat dengan menggunakan rumus trigonometri, langkah-langkah hitungan secara deskriptif yang terdapat dalam Risalah fi al-Acamal bil Rubuc al-Mujayyab (Bab 17) sebagaimana petikan berikut:

“... dapatkan asal al-mutlak dan juga bucd qutr dengan mail yang menyamai bagi caradh Mekah, iaitu 21 darjah. Kemudian letakkan benang di atas sittini dan tandakan dengan muri di atas asal al-mutlak dan pindahkan benang bagi fadhl at-tulain dari akhir qaus. Dan perbezaan bagi Mesir adalah 12 darjah. Kemudian tambahkan di atas apa yang dibaca oleh muri dari juyub mabsutah akan bucd qutr. Maka terhasil jaib irtifac samt Mekah, ambil qausnya. Letakkan benang di atas tamam irtifac samt Mekah dan tandakan dengan muri di atas jaib qaus fadhl at-thulain dari juyub mabsutah, kemudian pindahkan benang ke caradh Mekah dari permulaan qaus dan turunkan dari muri pada juyub mangkusah ke qaus, kamu akan dapat dari permulaannya samt Mekah, iaitu timur jika Mekah itu awal dari negeri kamu ...”

Langkah-langkah hitungan secara deskriptif di atas, dijelmakan kepada operasi aritmetik menjadi:

sin h = sin jt sin jm + kos j t kos jm kos Dl , dan

sin q = sin Dl x kos jm

sin (90° - h)

Di mana, jt dan jm masing-masing merupakan latitud tempatan dan latitud Mekah, Dl ialah perbezaan longitud antara kedua-dua tempat tersebut dan h ialah parameter sisi bagi segi tiga trigonometri yang terbentuk. Sudut kiblat dari utara ialah dinyatakan oleh tatatanda q. Langkah-langkah hitungan yang sama terdapat dalam naskhah al-Nukhbatul Bahiyyah (Bab 17), Pedoman Bahagia (hlm. 38 – bagi kaedah kedua), Tashilil Mabtadain (Bab 14) dan Pilihan Mastika (hlm. 41). Dalam naskhah Syamsul Fattiyyah (hlm. 47), terdapat pula rumus trigonometri bagi hitungan sudut kiblat yang diadaptasikan menjadi:

kos q = sin jm - sin jt sin h

kos h

Bagi kaedah hitungan sudut kiblat yang digunakan dalam naskhah falak Alam Melayu, penggunaan rumus yang diadaptasi dari langkah-langkah hitungan deskriptif sebagaimana dalam Jadual 1.

Naskhah falak

Penggunaan rumus

Sumber sains tamadun Islam

1.

Risalah fi al-Acamal bil Rubuc al-Mujayyab

Rumus kosinus untuk sisi h dan rumus sinus untuk sudut kiblat

Rumus trigonometri dari Abu Wafa al-Buzjani (kurun 10 M), kaedah Sukuan Sinus dari Sibti al-Maridini (kurun ke 15 M),

2.

Al-Nukhbatul Bahiyyah

Rumus kosinus untuk sisi h dan rumus sinus untuk sudut kiblat

(sama seperti 1 di atas)

3.

Syamsul Fattiyyah

Rumus kosinus untuk sisi h dan rumus kosinus untuk sudut kiblat

Rumus sinus dari Abu Wafa al-Buzjani.

4.

Nil al-Mathlub Fi Acamali Juyub

Rumus tangen (anggaran)

Rumus anggaran oleh al-Khawarizmi, Habash al-Hasib dan oleh al-Battani pada kurun ke 9 M.

5.

Pedoman Bahagia

(Kaedah pertama)

(Kaedah kedua)

Rumus kosinus untuk sisi h dan rumus kosinus untuk sudut kiblat.

Rumus kosinus untuk sisi h dan rumus sinus untuk sudut kiblat

Rumus sinus dari Abu Wafa al-Buzjani.

(sama seperti 1 di atas)

6.

Pilihan Mastika

Rumus kosinus untuk sisi h dan rumus sinus untuk sudut kiblat

(sama seperti 1 di atas)

7.

Tashilil Mabtadain

Rumus kosinus untuk sisi h dan rumus sinus untuk sudut kiblat

(sama seperti 1 di atas)

Jadual 1 : Penggunaan rumus sudut kiblat dalam naskhah falak Alam Melayu dan sumbernya

Penutup

Hubungan antara konsep ilmu falak Alam Melayu dengan sains tamadun Islam, hanya boleh dibuktikan apabila unsur-unsur matematik deskriptif dijelmakan kepada bentuk kuantitatif yang mengandungi simbol dan tatatanda tertentu. Berbanding dengan aspek ilmu falak rakyat yang mempunyai ciri-ciri etnosains, kaedah falak bermatematik merupakan pengaruh langsung daripada sains tamadun Islam. Walau bagaimanapun, sains yang diterima dari luar dan dipraktikkan sesuai dengan keperluan tempatan, akhirnya menjadi sebahagian etnosains.

Bibliografi

Abdullah Ishak. (1990). Islam Di Nusantara, Khususnya Di Tanah Melayu. Petaling Jaya: Al-Rahmaniah.

al-Attas, Syed Muhammad Naquib. (1990 Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Petaling Jaya: Angkatan Belia Islam Malaysia.

al-Biruni. (1029). Kitab al-Tafhim li-awa’il sina’at al-tanjim. Dlm. Fuat Sezgin, 1998, Islamic Mathematical And Astronomy, Vol 29. (Terj. Inggeris), Ramsay Wright, 1933. Publication of the Institute In the History of Arabic-Islamic Science. Frankfurt: Institute In the History of Arabic Science, Johann Wolfgang Goethe University.

Ali Sulayman al-Hashimi. (1981). Kitab Fi cIlal al-Zijat. Translation by Fuad I. Hadad & E.S Kennedy. New York: Scholars Facsimiles & Reprints

Baharrudin Zainal. (2002). Pengenalan Ilmu Falak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Dumarcay, Jacques (1978). Borubudur. Ed. & Trans. by Michael Smithies. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Encyclopaedia of Islam, The (1983). s.v ‘falak’. The Encyclopaedia of Islam, 1983, Vol. III. (Ed) P.J Bearman, TH. Bianquis, C.E Bosworth, E. Van Donzel & W.P Heinrichs (pp. 761). Leiden: E.J Brill.

Gingerich, Owen. (1992). The Great Copernicus Chase and Other Adventures in Astronomical History. Massachusetts: Sky Publishing Corporation.

Hartmann William, K. (1987). Astronomy: The Cosmic Journey. Belmont, California: Wadsworth Pub. Com.

Hevelius, Jan. (1981). The Star Atlas, 4th ed. Tashkent: Press Uzbek SSR.

Hoskin, Michael & Gingerich, Owen (1999). Islamic Astronomy Dlm. The Cambridge Concise History of Astronomy, Michael Hoskin (Ed.). Melbourne: Cambridge University Press

Kennedy, Edward. S. (1973). A Commentary Upon Birunis, Kitab Tahdid al-Amakin. An 11th. Century Treatise on Mathematical Geography. Lebanon: American University of Beirut.

Kennedy, Edward. S. (1983). Studies In The Islamic Exact Sciences. Lebanon: American University of Beirut.

King, David. A. (1993). Astronomy In The Service Of Islam. Vermont: Variorum Reprints.

Mat Rofa Ismail (1995). Sejarah Aritmetik Dan Aljabar Islam. Selangor: Universiti Pertanian Malaysia.

Nadvi, Sayyid Sulaiman. (1946). Muslim Observatory. Dlm. Fuat Sezgin, 1998, Islamic Mathematical And Astronomy, Vol 94. Observatories And Instruments. Publication of the Institute In the History of Arabic-Islamic Science. Frankfurt: Institute In the History of Arabic Science, Johann Wolfgang Goethe University.

Nasr, Sayyid Hossien. (1992). Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam. Baharuddin Ahmad (Ter). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Othman Yatim & Halim Nasir. (1990). Epigrafi Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pannekoek, Anton. (1961). A History of Astronomy. New York: Dover Publocations Inc.

Pawang Ana & Raja Haji Yahya. (1985). Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sd. Bhd.

Raffles, Thomas Stamford (1965). The History of Java. Kuala Lumpur: Oxford University Press

Rgep, F.J (1993). Tadhkira fi cilm al-hay’a: Nasir al-Din Tusi’s Memoir on Astronomy. New York: Springer-Verlag.

Saliba, George (1994). A History Of Arabic Astronomy: Planetary Theories During The Golden Age Of Islam. New York : New York University Press

Saiyid Samad Husain Rizvi. 1979. A Newly Discovered Book of al-Biruni, ‘Ghurrat-uz-Zijat’, and al-Birunis Measurements of Earths Dimension. Dlm. al-Biruni Commemorative Volume, ed. by Hakim Mohammed Said. Karachi: Hamdard Academy.

Shaharir Mohamad Zain. (2000). Angka Melayu Sebelum Kedatangan Islam. Bull. Malaysian Math. Sc. Soc (2nd series), 23 (2000), pp 187-220.

Stephenson, Richard F. (1987). Annals of the Ancient Sky. Science and Future Special Report. Britannica Special Report, 1987.

Stencel, R., Gifford, Fred. & Moron, Eleauor. (1976). Astronomy and Cosmology at Angkor Wat. Science, July 1976, vol. 193, no. 4250.

Wan Mohd. Shaghir Abdullah. (2005). Perkembangan Dan Penulisan Falak Dunia Melayu. Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Keilmuan Falak, Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Fahim. Anjuran Jabatan Mufti Pulau Pinang & Universiti Sains Malaysia, Sept. 2005.



[1] Tafsir Baidawi merupakan antara kitab tafsir al-Quran yang pertama dicetak untuk kegunaan Alam Melayu pada tahun 1323 H/ 1905 M. Rujukan dalam kajian ini menggunakan naskhah koleksi peribadi kami. Dalam tafsir Pimpinan ar-Rahman, terbitan JAKIM, cetakan tahun 1996, ayat berkenaan ditafsirkan sebagai; ‘... tiap-tiap satu beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing ...’.

[2] Hadis ini digunakan sebagai takrifan ilmu bintang oleh Haji Umar Bin Ismail Nuruddin dalam naskhah Syamsul Fattiyah (hlm.4). Hadis ini diriwayatkan daripada Abu Hurairah, terdapat dalam Kitab Shu’bul Iman, Juzuk 2 (hlm. 269), terbitan Darul Fikri, Mesir tahun 1979.

[3] Lihat ulasan karya al-Biruni, dalam al-Biruni Commemorative Volume oleh Hakim Mohammed Said (1979).

[4] Penyebaran pengaruh Hindu ke Alam Melayu dikatakan bermula dengan aktiviti perdagangan antara India Selatan dengan Sumatera seawal kurun pertama Masehi. Lihat dalam Maritime Trade and State Development in Early Southeast Asia, oleh Kenneth R. Hall (1985).

[5] Lihat dalam Abdullah Ishak (1990). Islam Di Nusantara, Khususnya Di Tanah Melayu. Selangor Al-Rahmaniah.

[6] Bintang Tujuh juga menarik kerana salah satu bintang cerah dalam kelompok ini kelihatan seolah-olah menjunam jatuh ke bawah dari kelompok utama. Keadaan ini digambarkan menerusi pembayang pantun dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Lihat dalam Pawang Ana et.al (1985), berdasarkan naskhah R.O Winstedt.

[7] Penamaan nama hari dalam satu minggu pada takwim Babilonia juga menggunakan konsep yang sama, lihat dalam Encyclopaedia Britanica.

[8] Keadaan geografi Alam Melayu yang terletak pada latitud 15° Utara dan 10° Selatan, disifatkan sebagai latitud rendah yang kurang kesan musim dan perbezaan ketara panjang siang dan malam sepanjang tahun.

[9] Bintang Belantik ialah bintang tiga berderet dalam Buruj Orion yang lebih popular digunakan oleh masyarakat Alam Melayu sebagai panduan ke arah kiblat, lihat dalam Baharrudin Zainal (2002). Kaedah penyusunan takwim musim berdasarkan fenomena bintang Belantik ini telah digunakan oleh masyarakat Jawa untuk menyusun takwim ‘pranotomongso’. Lihat dalam Pannekoek (1961) dan Bambang Hidayat (2000).

[10] Lihat dalam Pannekoek (1961).

[11] Lihat kajian tarikh pada Batu Bersurat Terengganu oleh al-Attas (1970).

[12] Lihat dalam buku cenderamata 125 Tahun Jabatan Ukur Dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).