ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Nostalgia Musim Bah





Nostalgia Musim Bah

Sejak 2, 3 hari lalu hujan turun tidak berhenti, sambil mengirup teh ‘o’ panas, saya mula berceritakan pengalaman dan kenangan lama yang masih segar dalam ingatan iaitu pengalaman bekerja di musim bah.

Disember setiap tahun dikatakan bah melanda dan ianya bagaikan acara tahunan yang ditunggu-tunggu terutamanya golongan kanak-kanak dan belia. Bagaikan pesta air untuk bermain air bah , berperahu dan berpelampung ‘tiub kereta’ .

Suatu tahun 90 an, Saat ditunggu tiba bagaikan teruja dan menggembirakan sehingga tidur kurang lena kerana ingin melihat air bah, perkembangan kenaikan air sungai diikuti. Kebiasaanya air bah melimpah di awal pagi dimana di saat bangun subuh air bah sudah melimpah sekeliling rumah.

Di tahun itu juga buat pertama kali saya bekerja sebagai pembantu pembawa perahu, pengayuh perahu dan berkaitanya. Dimana pangkalan perahu di musim banjir untuk ke ‘seberang’ berpusat dekat dengan rumah .

Hari pertama banjir penulis mula bertemu kawan-kawan untuk perancangan meronda kawasan dilanda banjir dengan perahu serta untuk bermain air bah di Pangkalan Paun. Bersama tiup pelampung kami berperahu dengan mengayuh meronda kawasan rumah yang dilanda banjir sehingga ke ‘bereng’ dan seterusnya ke tempat pilihan untuk mandi manda.

Setelah asyik bermain kami berperahu ke rumah Kak Zah yang menjual kuih pau sempena musim bah, dimana tingkat atas rumahnya menjadi tempat niaga, untuk membelinya perlu order dengan meletak duit kat bangkul yang disediakan dan ditarik tali bagi turunkannya. Rasa Lapar bermain air memang menyelerakan kami kawan-kawan makan bersama-sama.

Waktu zohor kami pulang solat dan makan tengahari ternyata memang menyelerakan. Begitu juga makan malam amat menyelereakan walaupun badan letih.

Musim bah menjadi kebiasaan menyeberang kalangan masyarakat setempat termasuk orang luar walalupun tambang perahu naik berganda sehingga 2-3 ringgit. Berdekatan rumah menjadi tempat pangkalan perahu dan ‘q’ motor penambang.

Aktiviti menyeberang di musim bah macam, berdekatan rumah dijadikan pengkalan perahu keesokkanya saya dipelawa untuk bekerja membantu pak sepupu sebagai pembantu pembawa perahu justeru antara tugasnya mengutip tambang, memegang perahu dan mengangkart barang yang ingin diangkut danseumpamanya. Keesokkanya bermula tugas tersebut seharian. Hari seterusnnya tokmak berbicara dengan tok sedara berkenaan memberi peluang kepada saya untuk mengayuh perahu unrtuk ke sempadan sungai (rakit) dan hasil tambang diberi sepenuhnya kepada saya. Kerana suatu kebiasaan pembahagian pengayuh dengan empunya pangkalan dan perahu ialah 40% dan 60% dari kutipan bersih tambang sepenuhuhnya.

Demikian bermulalah saya sebagai pengayuh perahu dengan dibantu dengan Fandi dengan gaji dibayar kepadanya RM20 sehari dan makan minum ditanggung semasa bekerja.

Kerja mengayuh memeng memenatkan namun menyeronokkan, mula-mula mememang terasa tebal muka gak almaklum berdepan dengan pelbagai peringkat manusia dan almaklum kategori kerja bawahan dan low class. Numun saya tak kisah kerana pendapatan memang lumayan, peendapatan bersih ialah antara RM150-250 sehari dari jam 7 pagi sehinggga 7 petang. Dan sempena musim bah 10 hari memang berbaloi...Malam hari memang terasa lengah urat dan sakit urat serta keletihan, namun makan menyelerakan selepas solat isyak dan makan malam terus lena sehingga ke awal pagi.

Aktiviti kerja ini antaranya mengangkut penumpang, barangan seperti makanan, pakaian, permainan dan sebagainya sama ada oleh peraih atau personal. Antaranya barang yang berat dipikul dan ringan almaklum pikul lak sambil mengharungi air. Saya hanya menghantar penumpang ke rakit sungai serta ke rumah pelanggan dan sebaliknya. Seterusnya bagi ke seberang penumpang akan menaiki perahu enjin almaklum air sungai memang deras. Kadang-kadang hari panas dan kadangkala hujan, paying memang disediakan bagi penumpang namun bagi saya dan pemabnatu hujan dan panas tidak dihiraukan, sambail mengayuh atau menolak perahu kami juga sempat bernamin air bah. So memang seronok...

Setiap petang saya akan membeli dan menjamu makanan seperti roti tempayan, locing, pulut ayam, pisang bakar dan sebagainya. Sepangjang musim bah ini penulis terasa bekerja kuat dari segi fizikal, body semakin gagah dan kuat dan badan naik beriisi sedikit demikian dikatakan sahabat di kota Bharu setelah kembali ke sekolah di awal tahun baru... apapun penulis pernah bekerja sebagai pengayuh perahu, pemikul barang, pelayan restoran, pekerja ladang, pekerja kilang dan lain-lain...Apapun pengalam bekerja amat bermakna....

Selepas musim bah saya dapat membeli banyak pakaian baru dan menyimpan pulus serta membuka akaun di bank Islam...$$$ pada tahun tersebut.

Bahasa Arab Popular Di US

Bahasa Arab popular di Amerika

WASHINGTON 8 Dis. - Bahasa Arab menjadi bahasa asing paling berkembang dan diminati di kalangan pelajar universiti di Amerika Syarikat (AS) dengan jumlah pelajar mendaftar mengikuti kursus bahasa itu meningkat lebih 46 peratus pada tahun lalu berbanding 2006, menurut satu kajian yang dikeluarkan hari ini.

Selepas bahasa Inggeris, bahasa Arab berada di tangga kelapan mengatasi bahasa Latin dan Rusia paling diminati di kalangan pelajar AS, bahasa yang telah 22 kali disusun oleh Persatuan Bahasa Moden (MLA) sejak 1958.

Bahasa lain yang mencatat peningkatan berganda ialah bahasa Korea yang meningkat lebih 19 peratus, China (18.2 peratus), bahasa isyarat Amerika (16.4 peratus) dan bahasa Portugis (11 peratus).
Tetapi bahasa Sepanyol kekal menjadi bahasa popular di kalangan pelajar universiti AS selepas bahasa Inggeris dengan 865,000 pelajar mendaftar mengikuti pengajian bahas itu, meningkat lima peratus sejak 2006.

Ia diikuti bahasa Perancis dengan pendaftaran pelajar berjumlah 216,000 orang, meningkat lima peratus dan Jerman dengan 96,000 pelajar, meningkat kira-kira dua peratus berbanding 2006.
Pelajar yang mendaftar mengikuti bahasa Rusia pula meningkat dari 24,000 pada 1980 kepada hampir 45,000 orang pada 1990 ketika Kesatuan Soviet berpecah.
Lima tahun kemudian, jumlah pelajar yang mengikuti bahasa Rusia kembali merosot kepada kira-kira 25,000 orang.

Jumlah pelajar yang mendaftar kursus bahasa Arab telah meningkat daripada 5,500 pada 1998 - ketika al-Qaeda mengaku mengebom Kedutaan AS di Nairobi dan Dar-es-Salaam yang mengorbankan ratusan jiwa, melonjak kepada 10,584 orang pada 2002, setahun sebelum Amerika mengetuai penaklukan ke atas Iraq, dan jumlah itu terus meningkat tahun ini kepada 35,000 pelajar.

Kajian itu dibuat berdasarkan pendaftaran kelas bahasa di 2,514 kolej dan universiti di AS yang mewakili 99 peratus institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian bahasa di negara ini, kata laporan tersebut. - AFP

Cabaran akademia muda dalam membudayakan kesarjanaan


DUNIA akademik menjadi semakin mencabar khususnya kepada akademia atau pensyarah muda apabila kerajaan berusaha membangunkan sektor pendidikan tinggi negara ke arah berdaya saing setanding institusi pengajian tinggi ternama dunia, di samping meningkatkan penarafan global terhadap universiti tempatan.
Akademia muda tidak boleh lagi berpeluk tubuh, sebaliknya perlu menyiapkan diri menghadapi cabaran yang bukan saja bercorak tempatan malah global sifatnya.

Persoalan di sini ialah bagaimana membentuk seseorang akademia muda yang cemerlang dan berdaya saing tinggi itu?

Sebelum menjawab persoalan itu, akademia muda perlu berpegang kepada prinsip cintakan ilmu. Malah cintakan ilmu dalam erti kata menguasai ilmu atau menjadi autoriti dalam sesuatu sumber ilmu tidak kira sama ada dalam sains sosial atau sains tulen.

Pemerhatian yang dapat dilihat di kalangan akademia muda kini adalah mereka lemah dari segi penguasaan teori dan falsafah sesuatu ilmu. Mereka tidak gemarkan teori dan falsafah. Ini menyebabkan penguasaan ilmu tidak lengkap dan gagal menjelaskan serta menerangkan fenomena kejadian dan situasi sebenar sesuatu permasalahan dalam kajian.

Tindakan kerajaan memperkenalkan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dilihat sebagai usaha murni Kementerian Pengajian Tinggi mewujud dan memantapkan penyelidikan di kalangan akademia tempatan khususnya akademia muda dalam menguasai ilmu khususnya dari segi teori dan falsafah.
Namun, kaedah memupuk dan mempertingkatkan penguasaan ilmu akademia muda bukan suatu yang boleh dicapai dalam jangka masa singkat. Namun, ia perlu dicapai melalui perancangan teliti dan sistematik semua pihak, termasuk kementerian, universiti dan individu yakni setiap akademia muda terbabit.

Kegagalan perancangan itu dilihat mampu membawa budaya kelesuan di kalangan akademia muda seterusnya melemahkan fungsi universiti sebagai pusat kecemerlangan pengajian tinggi negara.

Dalam menangkis kelemahan itu dan berusaha ke arah melahirkan tenaga akademia muda yang cemerlang dan berilmu, suatu elemen pencerahan perlu diserapkan di setiap institusi pengajian tinggi negara sama ada di sektor awam mahupun swasta.

Elemen pencerahan itu boleh dilihat dari segi dua faktor yakni makro dan mikro. Faktor makro lebih mengkhusus kepada dasar pendidikan tinggi negara. Misalnya, kerajaan memperkenalkan program MyBrain 15 dalam usaha melahirkan seramai 60,000 tenaga akademik, terutama sekali akademia muda bertaraf kedoktoran, PhD.

Niat itu amat murni dalam mempertingkatkan kualiti universiti tempatan. Malah matlamat universiti meletakkan syarat yakni 60 peratus tenaga akademik di setiap universiti harus memiliki PhD juga menyumbang kepada dasar murni kerajaan.

Namun persoalannya ialah apakah strategi yang dilakukan untuk mencapai dasar itu pada peringkat universiti? Adakah pencapaian pelaksanaan dasar mencerminkan matlamat dasar yang dibentuk?

Selain itu, adakah dengan memperoleh PhD sudah dapat diterjemahkan sebagai mencapai tahap penguasaan autoriti ilmu seperti seharusnya dijadikan matlamat di setiap universiti tempatan. Memperoleh PhD tidak lebih dijadikan matlamat awalan berbanding matlamat ulung ke arah penguasaan ilmu. Cabaran sebenar ialah dalam membentuk pemupukan atau membudayakan kesarjanaan atau keintelektualan setiap universiti tempatan.

Inilah cabaran sebenar akademia muda kini. Mereka harus bebas mencari dan menguasai ilmu. Kebebasan akademik amat penting untuk dilaksanakan dalam usaha mencapai matlamat itu. Universiti harus menjadi pasar idea yang mana ilmu itu diperbincang dan diperdebatkan secara terbuka, kritikal, analitikal dan menyeluruh.

Budaya kesarjanaan ini, walaupun wujud di universiti tempatan namun terhad sifatnya. Yang jelas, kejayaan pelan strategik yang dibentuk Kementerian Pengajian Tinggi yakni dalam usaha merubah minda secara drastik dalam pendidikan tinggi amatlah bergantung kepada pembentukan dan kejayaan pelaksanaan budaya kesarjanaan ini.

Sementara itu, kejayaan budaya kesarjanaan juga disumbang oleh faktor mikro bagi elemen pencerahan tadi. Faktor mikro banyak bersangkutan dengan nilai kendiri setiap akademia muda terbabit. Mereka seharusnya mempunyai matlamat dan minat menjadikan diri mereka sebagai tenaga akademik cemerlang khususnya dalam melahirkan karya penulisan asli yang bermutu tinggi.

Langkah kerajaan menggalakkan akademia muda menghasilkan karya dalam jurnal berimpak tinggi seperti dalam senarai indeks SCORPUS dan ISI adalah tepat dalam menggalakkan budaya penulisan. Akademia muda juga harus mampu menjadi penyelidik berkaliber dalam menghasilkan kajian dan perundingan yang boleh dimanfaatkan negara secara keseluruhannya.

Hasil penulisan dan penyelidikan itu boleh dimanfaatkan dari segi penyebaran ilmu melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Maka kebergantungan akademia tempatan terhadap sumber luar khususnya dari Barat, dapat dikurangkan kerana akademia tempatan sendiri mampu menjadi sumber berautoriti bagi sesuatu ilmu.

Di samping itu, proses jaringan perhubungan luar amatlah penting dan harus diperluaskan. Ini boleh dilakukan dengan galakan kerajaan dan usaha akademia muda membabitkan diri sebagai pembentang kertas kerja dalam persidangan berimpak tinggi di dalam dan luar negara. Lagi banyak membentangkan kertas kerja, lagi baik. Ini bukan saja mendedahkan akademia muda kepada proses jaringan kesarjanaan, malah mampu mempersiapkan mereka dalam menghadapi dunia akademik yang lebih mencabar khasnya dari aspek pengantarabangsaan. Penyebaran ilmu kepada masyarakat awam juga boleh dilakukan melalui proses ini.

Jelas sekali, apa yang penting buat masa ini ialah akademia muda harus mematangkan diri dalam dunia pilihan mereka yakni dunia akademik. Mereka harus fokus, dinamik dan berdedikasi dalam kerja akademik, terutama dalam usaha menguasai ilmu dan disiplin tertentu.

Sokongan dan dokongan juga harus diberikan oleh akademia veteran terhadap proses kematangan itu, bukannya menyekat dan mendiskriminasi kerana bimbangkan kedudukan mereka terancam. Akademia muda juga perlu diberikan ruang dan fokus mempersiapkan diri bagi menguasai ilmu dan sekiranya dapat dikurangkan gangguan dari segi kerja pentadbiran.

Oleh itu, akademia muda yang berkualiti dan pengiktirafan yang diperoleh dari dalam dan luar negara ialah akademia yang bukan saja mempunyai PhD, malah terlatih dari segi penulisan, berkemahiran dalam penyelidikan dan mampu menterjemahkan penguasaan ilmu ke dalam proses pengajaran, pembelajaran dan jaringan perhubungan.

Penguasaan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu juga penting bagi proses penguasaan ilmu selain bahasa asing lain. Jadi, dasar murni yang dibentuk kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi akan gagal sekiranya dasar itu tidak dapat diterjemahkan secara berkesan pada peringkat universiti dan terhadap setiap akademia muda.

Akademia muda mempunyai cabaran besar untuk dihadapi dalam usaha merealisasikan matlamat pencerahan dan kecemerlangan pendidikan tinggi negara pada masa depan.

Oleh Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani : Penulis ialah Pengerusi Program Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) 2010/12/09 Utusan Malaysia

40 Tokoh Ulama' Johor

40 Tokoh Ulama Johor

Abd Latif Juffri @ Al-Jufri/Masnorindah Mohd Masry
Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat Cawangan Johor


Buat julung kali, Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat Cawangan Johor berjaya menerbitkan buku, 40 Tokoh Ulama Johor bertujuan untuk memperingati sumbangan ulama tersohor negeri itu yang sama-sama bertanggungjawab menyumbangkan ilmu melalui sistem pendidikan agama di negara ini.

Buku setebal 180 halaman berharga RM100 sebuah yang ditulis oleh Abd Latif Juffri @ Al-Jufri dan Masnorindah Mohd Masry itu merupakan siri pertama menghimpunkan 15 orang tokoh ulama dan baki 25 orang tokoh lagi akan diterbitkan Jun depan.

15 tokoh ulama yang ditampilkan dalam buku siri pertama itu, seperti Dato’ Syed Hassan Ahmad al-Attas, Syed Syeikh Al-Hadi, Syekh Tahir Jalaludin, Dato’ Hj Abdullah Abd. Rahman, Kiai Haji Fadhil al-Banteni, Haji Abu Bakar bin Hassan al-Muari, Dato’ Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad, Ustaz Hj Mohd Yassin Mohammad (Bapa Tan Sri Muhyiddin Yassin) , Kiai Haji Ahmad Shah, Dato’ Kiai Hj Samsudin Redwan, Dato’ Hj. Ismail Bin Omar Abdul Aziz, Tan Sri Abdul Jalil bin Hassan, Ustaz Hj Md. Lazim Saim, Panglima Kiai Salleh dan Dato’ Haji Omar bin Muhammad Yusuf.

Pengarangnya, Abd Latif Juffri, berkata buku yang disiapkan dalam tempoh tiga bulan itu menghimpunkan 40 tokoh ulama Johor seawal tahun 1832 hingga 1921. Antara kandungan utama buku itu termasuk menjelaskan ketokohan ulama silam yang meninggalkan deligasi pemikiran, cara hidup, keterampilan dan mewariskan ilmu melalui sumbangan dalam bidang dakwah, pendidikan dan karya penulisan.

Beliau berkata, buku yang sesuai dimiliki dan menjadi rujukan perpustakaan awam, perpustakaan IPT dan sekolah-sekolah itu turut menjelaskan mengenai kesempurnaan pendidikan agama di Johor yang tersusun seawal tahun 1895.

“Istimewanya buku itu kerana di dalamnya ada menjelaskan mengenai perjuangan aliran Ahli Sunah Waljamaah yang pernah bersaing dengan perjuangan Kaum Muda yang didokong oleh tokoh-tokoh seperti Syed Sheikh Al-Hadi (1864-1931) dan Syekh Tahir Jalaluddin (1869-1956)”

“Turut dipaparkan mengenai perjuangan guru-guru aliran pondok tradisional termasuk bapa kepada Timbalan Perdana Menteri sekarang, iaitu Tuan Guru Haji Mohd. Yassin bin Muhammad pada sekitar tahun 1898 hingga 1975” katanya.

Menurutnya, idea untuk menghasilkan buku berkenaan timbul selepas beliau memenangi anugerah khas untuk buku Perkembangan Pentadbiran Agama Islam Johor dalam pertandingan Anugerah Media Islam Negara (Amin) 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Oktober tahun lalu.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat Cawangan Johor, Samsudin Samudi, berkata ulama Johor yang diabadikan dalam buku berkenaan tidak terkecuali daripada kelompok ilmuan Islam tersohor yang bertanggungjawab menabur benih iman dan Islam.

“Mereka seterusnya menyubur dan menyumbangkan ilmu melalui siistem pendidikan agama yang paling tersusun di negara ini”

“Ia bermula seawal tahun 1895 dikenali dengan Sekolah al-Quran, Sekolah Kitab, sekolah Pondok, Sekolah Arab dan sekolah agama kerajaan Johor yang kemudian berkembang melalui proses pemodenan negeri ini” katanya.

Buku yang wajar dimiliki oleh semua pencinta ilmuan Islam itu bertuah apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin melancarkan buku itu sempena program Multaqa Ulama dan Ilmuan Islam Johor yang berlangsung di Persada Johor baru-baru ini.

Sempena multaqa itu, sebanyak 1,000 naskah buku itu berjaya dijual kepada orang ramai. Pihak penerbit ketika ini sudah menerima lebih 2,000 tempahan, dan buku itu dalam proses untuk diulang cetak.

Kepada yang berminat boleh menghubungi Abdul Latif Jufri (012-735 1714).

Kedaulatan Melayu :Sultan Johor

Kedaulatan Melayu : Sultan Johor

Ketuanan Melayu lebih sesuai disebut "kedaulatan Melayu" kerana ia mencakupi kedudukan Raja-raja Melayu dan rakyatnya dan bukannya soal antara "tuan" dan "hamba", titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

"Ketuanan Melayu merujuk kepada kedaulatan di negeri Melayu dengan kedudukan raja sebagai puncak kerajaan negeri-negeri Melayu," titah baginda semasa merasmikan Multaqa Ulama Darul Ta'zim di Johor Baharu hari ini.

Menurut baginda apabila British memberikan kemerdekaan kepada negara ini, mereka menyerahkan semula Tanah Melayu kepada tuannya iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya.


Ini kerana, awal sebelum kedatangan British dan sebelum kedatangan mana-mana bangsa ke negara ini, telah wujud tuan kepada tanah ini iaitu Raja-Raja Melayu dan rakyatnya, titah baginda.


"Sejak dulu lagi, ketika negeri-negeri Melayu belum dijadikan sebuah Persekutuan, Raja-Raja Melayu dan rakyatnya menerima orang luar sebagi tetamu dan memberikan mereka ruang mencari rezeki serta sama-sama membangunkan Tanah Melayu. Apabila sudah menjadi Persekutuan, hak-hak kaum lain terus juga dijaga dan dihormati serta dijamin oleh Perlembagaan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah baginda membangkitkan soal mengenai ketuanan Melayu memandangkan masih ramai rakyat tidak memahami perkara berkenaan dan menyalahtafsir maksudnya yang sebenar.


Baginda mengingatkan orang Melayu supaya bermusahabah diri dan mempertahankan ketuanan Melayu memandangkan ada orang Melayu sendiri yang mahu menolak kedaulatan Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

"Berdasarkan perkembangan semasa, suka saya mengingatkan kepada orang Melayu sekalian supaya muhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah sistem raja dan kerajaan Melayu yang telah wujud ratusan tahun dahulu tidak pernah putus malah kekal sehingga ke hari ini serta termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut baginda, konsep kedaulatan Melayu yang merangkumi kedudukan Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa orang Melayu dan hak-hak lain juga tidak pernah melihat orang lain sebagai orang luar di negara ini.

Baginda meminta golongan ulama memainkan peranan menjelaskan dan mempertahankan ketuanan Melayu selain menegakkan hukum-hukum syarak.


Sultan Ibrahim juga mengingatkan rakyat supaya terus mempertahankan fahaman ahli Sunnah Wal Jamaah dan mengamalkan ajaran Islam mengikut Mazhab Syafie bagi mengelak perpecahan.

Bagi mengatasi masalah yang timbul berkaitan akidah, ibadah dan fahaman Islam, baginda mencadangkan kerajaan Johor mewujudkan kumpulan pemikir Islam yang dianggotai pakar termasuk ulama, ahli perundangan dan sasterawan bagi membincangkan masalah berkaitan masyarakat Islam dan penyelesaiannya.

Baginda turut meminta ulama menyebarkan ilmu dan pengetahuan melalui penulisan sebagaimana yang diamalkan oleh ulama silam seperti Imam Al-Ghazali dan Imam Syafie.

Sultan Ibrahim juga mengesyorkan pengwujudan pusat pemurnian akidah serta pusat kajian, penyelidikan, pengembangan dan penyebaran Mazhab Syafie.


- Bernama

8 Disember 2010

SISTEM PENGAJIAN PONDOK

SISTEM PENGAJIAN PONDOK

Sistem pengajian pondok di Tanah Melayu pula mulai muncul pada pada permulaan abad ke 20, ada yang berpendapat bahawa ia wujud sejak abad ke 19 lagi. Sistem ini dipercayai berasal dari Pattani, Selatan Thailand. Ada juga pendapat mengatakan ia berasal dari Acheh Indonesia.

Di Tanah Melayu, Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula-mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820 M oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Abdullah (Tok Pulai Chondong) Selain dari pondok Pulai Chondong yang didirikan di Kelantan sebelum 1910 ialah Pondok Tok Bachok pada tahun 1900, Pondok Haji Abdul Malik Tumpat pada tahun 1907, Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat tahun 1908, Pondok Kubang Pasu Kota Bharu pada 1900, Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Haji Wan Abdul Samad bin Mohd Salleh atau lebih dikenali dengan gelaran Tuan Tabal.

Sistem ini mula berkembang pesat pada tahun 1909 sehingga Perang Dunia Kedua.Antara tahun 1910 hingga 1945 M boleh dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pengajian pondok di Kelantan.Pondok pada masa itu telah mencapai kemajuan yang gemilang dengan lahirnya ulama’-ulama’ terkenal yang mengharumkan nama negari kelantan. Ada sesetengah pondok pada masa itu mempunyai penuntut lebih dari seribu orang.

Namun begitu, kemunculan sistem pendidikan moden pada hari ini, bukanlah bererti ia akan menggugat sistem pengajian pondok secara keseluruhannya. Apa yang jelas sistem pondok ini masih mendapat tempat dalam masyarakat. Terdapat segelintir pendokongnya tetap mempertahankan sistem ini sama ada dengan mengekalkan pondok-pondok yang masih ada ataupun menubuhkan sistem pengajian ala pondok dengan menggabungkan dua sistem pendidikan, iaitu sistem persekolahan dan sistem pengajian pondok.

Di antara faktor kemerosotan sistem pengajian pondok ialah kerana perubahan politik negara ini, persaingan dengan sistem pendidikan moden, perubahan sosio-budaya masyarakat dan faktor dari dalam pondok itu sendiri, seperti tiada pengganti yang berwibawa selepas ketiadaan pengasasnya.

Walau bagaimanapun pusat pengajian pondok tetap utuh sebagai sebuah institusi pendidikan Islam sehingga sekarang. Kini terdapat beberapa buah pondok yang masih mampu mempertahankan identiti pengajian secara tradisional sehingga sekarang, antaranya seperti Pondok Pasir Tumbuh Kota Bharu, Pondok Sungai Durian Kuala Krai dan Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas.

Perkembangan terakhir menunjukkan bahawa pusat pengajian pondok telah memasuki satu era ke arah kebangkitan semula untuk mengembalikan fungsinya sebagai sebauah institusi pendidikan yang berkesan. Atas inisiatif Tuan-Tuan Guru dan pofesional, pada tahun 1995 satu badan khas, iaitu Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PPPB) telah ditubuhkan di kelantan dengan tujuan untuk membantu membangunkan pondok-pondok yang bernaung dibawahnya dari sudut pentadbiran pondok, infrastruktur dan guru-guru.


Pondok adalah sebuah tempat pengajian yang menjalankan sistem pengajiannya yang tersendiri. dan unik. Sistem talaqi (Menadah kitab) merupakan sistem utama yang diamalkan di pondok. Di sini Tuan-tuan Guru bukan setakat sebagai seorang tenaga pengajar, akan tetapi sebagai qudwah (teladan) bagi pelajar-pelajar, di samping sebagai penasihat dan pembimbing pelajar tersebut sepanjang masa. Perkara ini berterusan sehinggalah pelajar tersebut mampu untuk membaca kitab sendiri seterusnya sudah mampu berdiri sendiri dan keluar sebagai seorang Tuan Guru yang baru untuk mengembangkan sistem pondok ini khususnya dan islam amnya.

Tahap 1 : Mengenal Al-Quranul Karim.

Tahap 2 : Belajar Kitab-kitab Jawi Kecil dan Asas Bahasa Arab

Tahap 3 : Belajar Kitab-kitab Jawi Besar dan Kitab Arab Kecil

Tahap 4 : Menghabiskan Kitab-kitab

- Belajar Berzanji

- belajar bersyarah

http://www.epondok.com.my/kenalipondok/images/tanda1.gif

- Berzikir

- Persatuan Falak.

- Menjadi Imam Terawih (Senior)

- Menyampaikan syarahan dalam musim tertentu spt. Maulud

- Sembahyang Berjemaah

- Berdikari

- Kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

Kitab-kitab yang diajar

- Kitab Jawi

- Kitab Arab

· Sistem pengajian agama di pondok bersepadu ilmu agama yang di ajar dan apa yang penting ianya mengutamakan sistem talaqi dan juga berguru yang mempunyai sanad sampai empunya kitab. Dalam dunia massa sepatutnya sistem ini diperkasakan dan diintegrasikan dengan sistem universiti moden yang memisahkan secara cabang kecil dalam pengajian agama.

· Sistem turath dan moden harus digemblengkan demi kepentingan kemantapan pengajian agama di dalam negara yang dilihat ketandusan pelapis ulama yang alim dalam pelbagai bidang ilmu agama. Bahkan sistem pengajian agama di universiti Malaysia yang memisahkan antara satu sama lain. Bahkan hanya melahirkan agamawan yang arif dalam bidang kecil sahaja dan terror dalam copy dan paste. Sehinggakan setiap bidang ilmu sememangnya mempunyai konsep dan disiplin tersendiri. Kenapa kita begitu terikut dengan sistem barat yang berperancangan melemahkan sistem umat Islam yang secara tradisi Berjaya mengutuhkan keilmuan umat Islam. Walhasil gabungan sistem formal dan informal serta antara turath dan moden harus digerakkan dan diperjuangkan demi kelangsungan masa depan umat Islam di Negara .

Sumber: epondok

SALAM MAAL HIJRAH

Taqwim hijrah merupakan idea daripada Saidina Ali yang kemudiannya dipersetujui dan dilaksanakan oleh Saidina Omar . Peristiwa hijrah Rasul ke Madinah dijadikan asas bagi kalendar ini.

sebelum penggunaan taqwim hijrah dan semasa hayat Nabi SAW, taqwim yang digunakan ialah sistem taqwim qamariah (sistem hitungan bulan). Seterusnya mula tahun ke 17 hijrah iaitu tahun keenam kewafatan Rasulullah SAW mula dilaksanakan saidina Omar hasil sahabatnya saidina Ali yang terkenal empunya ilmu huruf dan gedung ilmu. Saidina Othman pulamencadangkan supaya bulanMuharam dijadikan bulan pertama dalam taqwim hijrah. seterusnya dijadikan taqrim rasmi hijrah.

Perhitungan taqwim hijrah adalah berdasarkan peredaran bulan mengelilingi bumi yang setiap pusingan mengambil masa selama 29.53059 hari dalam hitungan falak. Ini berbeza dengan hitungan taqwim syamsiah yang merujuk kepada peredaran matahari.

Firman allah dalam Surah al-Kahfi::250 bermaksud:
Danmereka ti ngal dalam gua mereka selama 300 tahun dan sebahagian manusia menambah sembilan (tahun kepadanya)

Mengikut perkiraan ahli falak ayat tersebut menunjukkan bahawa 300 tahun bagi tahun masihi (syamsiah) adalah menyamai 309 tahun qamariah atau tahun hijrah yang digunakan sebagai taqwim Islam sekarang. Ini terbukti melalui kiraan jumlah hari yang berkitar 29-30 hari bagi satu pusingan pergerakan bulanmengelilingi bumi, bersamaan dengan satu tahun mempunyai 354 hari iaitu 11 hari kurang dari tahun Syamsiah iiatu kalendar masihi yang berjumlah 365 atau 366 pada tahun lompat.


Justeru taqwim hijrah mula digunakan pad atahun 622 masihi.

* apapun keduanya diguna pakai olehumat Islam sedunia dan masyarakat global. sempena hijrah ini pentingnya kepada asetiap individu daripada dan kepada lebih baik bagi diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah dan dalam apa jua bidang.
'Kullu Am Bikhair'