Universiti Oxford
mengamalkan tradisi dan disiplin ilmu ala institusi pondok..!
Percayakah anda menara gading Inggeris tertua di dunia, Universiti
Oxford sebenarnya mengamalkan tradisi dan disiplin ilmu ala institusi pondok?
Itulah rahsianya seperti yang didedahkan oleh anak Melayu pertama yang menjadi
pensyarah dan felo di Universiti Oxford, Dato’ Dr Afifi Al-Akiti dalam Ijtimak
Pondok Malaysia 2014 baru-baru ini.
“Moto Universiti Oxford, ‘Dominus Illuminatio Mea’ diambil daripada
ajaran Samawi iaitu kata-kata pembukaan dalam Mazmur 27 yang bermaksud ‘Tuhan
ialah cahaya saya’. Ia merupakan kitab Ibrani atau Perjanjian Lama Kristian
daripada Zabur ajaran Nabi Daud,” terangnya yang mula berkhidmat di Pusat
Pengajian Islam Oxford (OCIS) pada usia 32 tahun.
Menurutnya ciri-ciri ‘pondok’ dapat dilihat daripada tradisi ritual
seperti bacaan doa makan daripada Kitab Doa Bersama (Book of Common Prayer)
Anglikan yang diamalkan di Universiti Oxford dan UniversitiCambridge.
“Orang ateis sekali pun dalam jamuan makan perlu membaca doa makan
bersama-sama dalam Bahasa Latin. Ia lebih kurang dengan amalan membaca
Bismillah dan doa sebelum makan dalam Islam.”
Begitu juga dalam tradisi majlis konvokesyen di universiti dengan
persalinan jubah dan topi toga empat segi (mortarboard) adalah datang daripada
tradisi agama Islam.
“Topi toga asalnya adalah songkok yang diikat dengan Al-Quran sebagai
tanda amanah ilmu dan ijazah daripada guru. Jadi perbuatan membaling topi
tersebut ketika selepas majlis konvenkesyen adalah tidak beradap dan tidak
mewakili budaya ilmu,” jelasnya sambil membuat demontrasi penganugerahan ijazah
dengan menjadikan rakan panelisnya Prof Emeritus Dr Surin Pitsuwan sebagai
model guru.
Tambahnya lagi kecemerlangan
akademik universiti terbaik dunia itu juga bersumber daripada tradisi bertalaqi
iaitu kaedah pengajaran tutorial bersemuka dengan guru.
“Pensyarah di Oxford berperanan seperti Jedi untuk membimbing padawan
dalam filem Star Wars. Kami semua berlumba-lumba untuk menjadi Mahaguru Yoda,
Qui-Gon Jinn dan Obi-Wan Kenobi,” selorohnya bersahaja.
Beliau turut berkongsi rahsia kelangsungan dan keunggulan Universiri
Oxford selama lebih 900 tahun sejak 1096 dengan menggunakan dana endownmen iaitu salah satu instrumen
wakaf bagi menjamin autonomi universiti dan kebebasan akademiknya. Mengikut
rekod tahun 2012, Universiti Oxford mempunyai endownmen sebanyak 3.8 bilion
pound sementara Universiti Cambridge sebanyak 4.5 bilion pound.
Hampir 20 peratus daripada 175,000 alumni
menyumbang dengan mengumpul 45 peratus dana baru
pada tahun tersebut.Sumbangan terbesar dalam rekod universiti Eropah diterima
daripada bilionair Sir Michael Moritz yang mendermakan 75 juta pound kepada
Universiti Oxford untuk membiayai biasiswa pelajar miskin.
Dengan itu, tidaklah menghairankan apabila Universiti Oxford dilihat
sebegitu hebat dalam menghasilkan 47 penerima Hadiah Nobel, 25 orang Perdana
Menteri Britain, lebih 30 orang perdana menteri dan presiden pelbagai negara
serta ratusan sasterawan dunia seperti John Fowles, Evelyn Waugh, Lewis Caroll
dan Plum Sykes.
Buktinya paling dekat ialah Dr Afifi sendiri yang diiktiraf sebagai
Cendekiawan Clarendon, Universiti Oxford dengan ijazah doktor falsafah teologi
Islam, falsafah dan sains pada 2008 disenaraikan dalam senarai ‘500 Umat Islam
Paling Berpengaruh’ pada 2010.
Sebelumnya beliau mendapat Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang
Falsafah Skolastik dan Sejarah Sains dari Universiti Queen Belfast dan penguasaan tujuh bahasa utama ilmu iaitu
Yunani, Latin, Arab, Inggeris, Perancis dan Jerman selain Melayu.
Dr Afifi yang menyambut baik inisatif
terbaru kerajaan untuk memperkasakan sekolah pondok, turut menggesa agar
sekolah pondok kembali kepada tradisi dan dislipin ilmu dalam Islam sebagaimana yang diamalkan Universiti Oxford sekarang.
“Institusi pondok tidak seharusnya dilabel mewakili pondok tradisi atau
moden. Sebaliknya warga pondok perlu
berbangga dengan warisan tradisi silam daripada para salaf dan kemudian mampu
menawarkan nilai tambah disiplin ilmu mengikut keperluan dan tuntutan semasa,”
cadangnya agar sekolah pondok menjadi lebih dinamik, komprehensif dan
kompetitif.
Beliau yang pernah menuntut ilmu di sekolah pondok di Selangor,
Indonesia, Maghribi dan Syria mengharapkan lulusan pondok akan menyambung
pengajian sejauh mungkin malah mengikut jejak langkahnya ke Universiti Oxford.
Oleh: Faizal Riduan