ASPIRASI / INSPIRASI

Ilmu Massa, Turath, Sejarah. Analisa Kajian Budaya Pemikir. Peradaban Insani Kalbu Akal Mencerah. Hakikat Amal Zikir Dan Fikir. Ilmu, Amal, Hikmah Menjana Pencerahan. Ulul-Albab Rausyanfikir Irfan Bistari. Tautan Mahabbah Mursyid Bimbingan. Alam Melayu Alam Islami Tamadun Melayu Peradaban Islami. Rihlah Ilmiah Menjana Pencerahan Pemikiran, Kefahaman & Ketamadunan (Ilmu,Amal,Hikmah & Mahabbah) - Inspirasi: Rizhan el-Rodi

Universiti Oxford mengamalkan tradisi dan disiplin ilmu ala institusi pondok..!



 Universiti Oxford mengamalkan tradisi dan disiplin ilmu ala institusi pondok..!

Percayakah anda menara gading Inggeris tertua di dunia, Universiti Oxford sebenarnya mengamalkan tradisi dan disiplin ilmu ala institusi pondok? Itulah rahsianya seperti yang didedahkan oleh anak Melayu pertama yang menjadi pensyarah dan felo di Universiti Oxford, Dato’ Dr Afifi Al-Akiti dalam Ijtimak Pondok Malaysia 2014 baru-baru ini.

 

“Moto Universiti Oxford, ‘Dominus Illuminatio Mea’ diambil daripada ajaran Samawi iaitu kata-kata pembukaan dalam Mazmur 27 yang bermaksud ‘Tuhan ialah cahaya saya’. Ia merupakan kitab Ibrani atau Perjanjian Lama Kristian daripada Zabur ajaran Nabi Daud,” terangnya yang mula berkhidmat di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) pada usia 32 tahun.

 

Menurutnya ciri-ciri ‘pondok’ dapat dilihat daripada tradisi ritual seperti bacaan doa makan daripada Kitab Doa Bersama (Book of Common Prayer) Anglikan yang diamalkan di Universiti Oxford dan UniversitiCambridge.

 

“Orang ateis sekali pun dalam jamuan makan perlu membaca doa makan bersama-sama dalam Bahasa Latin. Ia lebih kurang dengan amalan membaca Bismillah dan doa sebelum makan dalam Islam.”

 

Begitu juga dalam tradisi majlis konvokesyen di universiti dengan persalinan jubah dan topi toga empat segi (mortarboard) adalah datang daripada tradisi agama Islam.

 

“Topi toga asalnya adalah songkok yang diikat dengan Al-Quran sebagai tanda amanah ilmu dan ijazah daripada guru. Jadi perbuatan membaling topi tersebut ketika selepas majlis konvenkesyen adalah tidak beradap dan tidak mewakili budaya ilmu,” jelasnya sambil membuat demontrasi penganugerahan ijazah dengan menjadikan rakan panelisnya Prof Emeritus Dr Surin Pitsuwan sebagai model guru.

 

Tambahnya lagi kecemerlangan akademik universiti terbaik dunia itu juga bersumber daripada tradisi bertalaqi iaitu kaedah pengajaran tutorial bersemuka dengan guru.

 

“Pensyarah di Oxford berperanan seperti Jedi untuk membimbing padawan dalam filem Star Wars. Kami semua berlumba-lumba untuk menjadi Mahaguru Yoda, Qui-Gon Jinn dan Obi-Wan Kenobi,” selorohnya bersahaja.

 

Beliau turut berkongsi rahsia kelangsungan dan keunggulan Universiri Oxford selama lebih 900 tahun sejak 1096 dengan menggunakan dana endownmen iaitu salah satu instrumen wakaf bagi menjamin autonomi universiti dan kebebasan akademiknya. Mengikut rekod tahun 2012, Universiti Oxford mempunyai endownmen sebanyak 3.8 bilion pound sementara Universiti Cambridge sebanyak 4.5 bilion pound.

 

Hampir 20 peratus daripada 175,000 alumni menyumbang dengan mengumpul 45 peratus dana baru pada tahun tersebut.Sumbangan terbesar dalam rekod universiti Eropah diterima daripada bilionair Sir Michael Moritz yang mendermakan 75 juta pound kepada Universiti Oxford untuk membiayai biasiswa pelajar miskin.

 

Dengan itu, tidaklah menghairankan apabila Universiti Oxford dilihat sebegitu hebat dalam menghasilkan 47 penerima Hadiah Nobel, 25 orang Perdana Menteri Britain, lebih 30 orang perdana menteri dan presiden pelbagai negara serta ratusan sasterawan dunia seperti John Fowles, Evelyn Waugh, Lewis Caroll dan Plum Sykes.

 

Buktinya paling dekat ialah Dr Afifi sendiri yang diiktiraf sebagai Cendekiawan Clarendon, Universiti Oxford dengan ijazah doktor falsafah teologi Islam, falsafah dan sains pada 2008 disenaraikan dalam senarai ‘500 Umat Islam Paling Berpengaruh’ pada 2010.

 

Sebelumnya beliau mendapat Sarjana Muda Kelas Pertama dalam bidang Falsafah Skolastik dan Sejarah Sains dari Universiti Queen Belfast dan penguasaan tujuh bahasa utama ilmu iaitu Yunani, Latin, Arab, Inggeris, Perancis dan Jerman selain Melayu.

 

Dr Afifi yang menyambut baik inisatif terbaru kerajaan untuk memperkasakan sekolah pondok, turut menggesa agar sekolah pondok kembali kepada tradisi dan dislipin ilmu dalam Islam sebagaimana yang diamalkan Universiti Oxford sekarang.

 

“Institusi pondok tidak seharusnya dilabel mewakili pondok tradisi atau moden. Sebaliknya warga pondok perlu berbangga dengan warisan tradisi silam daripada para salaf dan kemudian mampu menawarkan nilai tambah disiplin ilmu mengikut keperluan dan tuntutan semasa,” cadangnya agar sekolah pondok menjadi lebih dinamik, komprehensif dan kompetitif.

 

Beliau yang pernah menuntut ilmu di sekolah pondok di Selangor, Indonesia, Maghribi dan Syria mengharapkan lulusan pondok akan menyambung pengajian sejauh mungkin malah mengikut jejak langkahnya ke Universiti Oxford.


Oleh: Faizal Riduan